Berita

WiPers umum insentif hingga RM5,000 buat atlet SUKMA

ROSIDA (kiri) menyampaikan cenderahati kepada atlet WiPers, Muhammad Hairie Mahmad (tengah) yang memenangi pingat emas pada Kejohanan Dunia 2022 di Abu Dhabi baru-baru ini. Hadir sama Pengerusi MSWP, Datuk Ramlan Askolani.
- Diterbit 11 Jun 2022 6:30 AM MYT

KONTINJEN Wilayah Persekutuan (WiPers) bakal memberi insentif sebanyak RM5,000 bagi atlet yang memenangi pingat emas dalam acara individu serta RM3,000 hingga RM4,000 bagi acara berpasukan pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang dijadualkan pada 16 hingga 24 September depan.

Bagi pemenang pingat perak pula, pemenang akan menerima insentif sebanyak RM2,000 bagi acara individu dan RM1,000 hingga RM1,500 bagi acara berpasukan sementara pingat gangsa pula sebanyak RM1,000 bagi sukan individu dan RM500 hingga RM700 bagi acara berpasukan.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Kontinjen WiPers, Datuk Seri Rosida Jaafar, insentif tersebut bagi menyuntik semangat dalam memastikan segala matlamat untuk muncul juara menjadi kenyataan.

“Biarpun secara dasarnya, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) meletakkan sasaran pencapaian tiga terbaik, tetapi saya yakin jika ada usaha dan kemahuan yang bersungguh-sungguh daripada anda semua maka kejayaan menduduki kejuaraan keseluruhan mampu dicapai,” ujar beliau ketika menyampaikan amanat Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sempena Kem Latihan Atlet SUKMA Wilayah Persekutuan (KLAS) 2022 baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, atlet WiPers adalah antara yang teramai menyumbang pingat buat kontinjen negara pada Sukan SEA di Hanoi yang berlangsung pada bulan lepas.

“Di Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), kita bakal memberikan insentif kepada semua atlet Wilayah Persekutuan sama ada masih berada di dalam program bersama MSWP atau tidak,” ujar beliau. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas