Artikel

Wilayah Persekutuan titik mula tamadun Madani

- Diterbit 10 Mac 2023 2:30 AM MYT

SARFARIZMAL MD SAAD

WILAYAH Persekutuan nadi terpenting dalam kelestarian kehidupan masyarakat Madani di negara ini. Uniknya Wilayah Persekutuan di negara kita mempunyai tiga model yang saling berbeza antara satu sama lain.

Kuala Lumpur sebagai sebuah mercu tanda negara yang menjadi pemusatan kepada kekayaan negara dan perkembangan urusan ekonomi, di samping ibu negara ini.

Putrajaya pula dibina atas perjuangan kerajaan dalam melestarikan sebuah pusat pentadbiran yang lain dari yang lain dan seimbang dari pelbagai sudut pandang.

Manakala Labuan pula terjarah sebagai pusat kewangan persisir antarabangsa yang juga merupakan satu-satunya Wilayah Persekutuan dengan status bebas cukai.

Kuala Lumpur dipenuhi infrastruktur, pengangkutan dan sejarah kehidupan berkesinambungan pada keluasan 243 kilometer persegi. Putrajaya dilengkapi struktur pejabat, pusat komersial, perumahan, jajaran pengangkutan serta alam yang amat sistematik dan cantik pada keluasan 49 kilometer persegi.

Manakala Labuan pula berkeluasan 91 kilometer persegi sebagai sebuah pulau yang penuh dengan sistem dan aktiviti pelaburan serta urusan perniagaan juga pelancongan.

Sejujurnya, Wilayah Persekutuan dipenuhi wajah-wajah kehidupan yang versatil dan penuh warnawarni. Di sinilah terisi pengemis, peniaga, penjawat awam, usahawan, penghibur, pemikir, warga asing, pelancong, akademia dan buruh kasar.

Pada sisi kata yang berbeza, kita boleh anggap Wilayah Persekutuan di Malaysia ini sebagai salah satu ejen kepada pembinaan tamadun negara kita.

Menurut Sarjana Barat Darcy Roberio, terdapat 11 ciri bagi sesebuah tamadun: Penyebaran teknik pertanian, penternakan dan pengkhususan fungsi kumpulan tertentu, revolusi perbandaran, kemunculan bandar dan negara, stratifikasi masyarakat dalam kelas-kelas sosial, pertanian, perairan, teknik, bilangan dan kalendar, perkembangan kapal serta penciptaan mata wang.

Kependudukan masyarakat di tiga-tiga Wilayah Persekutuan itu juga mencerminkan kepada asas menuju kualiti hidup yang lebih baik berbanding kehidupan sebelumnya di perkampungan.

Ironinya, jiwa-jiwa yang melakukan penghijrahan ke Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah mereka yang membawa stigma dan keazaman untuk mengubah hidup serta keluarga sendiri untuk menjadi lebih baik.

Kerajaan Malaysia yang mentadbir urus tiga Wilayah Persekutuan ini juga sekata dan tidak lari dari jajaran asal komitmen sebenar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan digelar Wilayah Persekutuan.

Siapa pun yang menjadi kerajaan, komited mereka kepada prinsip perlembagaan tetap sama yakni menekankan toleransi, kesederhanaan, sifat kemanusiaan dan timbang rasa sehingga beri kesan positif terhadap keamanan dan pembangunan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sewajarnya warga Wilayah Persekutuan harus menitipkan rasa syukur kerana tetap dilayan baik bagai ‘anak emas’ oleh pemerintah walau dari ideologi politik yang berbeza.

Walaupun Kementerian Wilayah Persekutuan telah dimansuhkan dan menjadi Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri, namun perpaduan (unity) di kalangan penduduknya tetap menjadi prioriti oleh kepimpinan jabatan.

Pemerkasaan (empowerment) sektor-sektor asas kehidupan masyarakat juga tidak dikesampingkan. Yang susah terus dibantu, yang kaya terus diberi peluang dan yang baru berhijrah terus dialu-alukan.

Malah, Jabatan Wilayah Persekutuan tetap mendengar suara (voice) para penghuninya dari segala bentuk dan posisi.

Andai kita mahu mengukur cabaran kehidupan masyarakat, Jabatan Wilayah Persekutuan antara yang paling sibuk mengurusnya saban hari. Tiada masa berehat walau seketika dalam mengurus cabaran manusia dan alam sekitar.

Apa yang diharapkan hanyalah ketabahan, kecekalan dan istiqamah warga Jabatan Wilayah Persekutuan dan masyarakat penghuni Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dalam berhadapan segala kerisauan dan kegelisahan hidup.

Semoga kita menjadi sebuah tamadun yang tidak muflis semangat untuk bertahan dan kalis dengan dugaan ketamadunan. Jadikan Wilayah Persekutuan sebagai titik mula kepada pembentukan tamadun Madani di Malaysia.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas