Berita

WIBB: Rujuk garis panduan berniaga di laman web DBKL

- Diterbit 15 November 2020 7:22 AM MYT

SEJAK diumumkan Selasa lalu, ramai yang tertarik dan mahu mengambil peluang menjana pendapatan tambahan melalui inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (WIBB).

Bagaimanapun peniaga dan penjaja dinasihatkan boleh merujuk garis panduan dan peraturan berniaga di laman web Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa para peniaga supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan peningkatan kes jangkitan di Lembah Klang termasuk Wilayah Persekutuan.

“Kalau semua beri kerjasama, sambil-sambil kita kawal keadaan menerusi PKPb semua orang boleh cari makan,” katanya.

Menurutnya nasihat yang sama diberikan kepada peniaga-peniaga muda di bawah Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota.

Beliau berkata demikian selepas Program Pemberian Lesen Penjaja di Desa Pandan pada Ahad dan menyampaikan lesen penjaja kepada 50 peniaga.
Program tersebut turut dimuat naik menerusi akaun Facebook, Kementerian Wilayah Persekutuan.

Katanya, mereka juga perlu memberi kerjasama kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) kerana pertubuhan tersebut turut memiliki kuasa memantau keadaan para peniaga.

“Mohon semua peniaga beri kerjasama kepada Majlis Perwakilan Penduduk sebab saya dah beri kuasa kepada mereka untuk menyelaras dan bantu PBT.

“Walaupun kita memberi peluang kepada para penjaja dan peniaga menjalankan perniagaan tapi saya nak mereka susun secara teratur dan patuh peraturan PBT,” katanya.

“Kena ingat bukan semua tempat boleh pacak gerai, kena membuat rundingan dengan MPP dan bekerjasama dengan bandar raya.

“Bagaimanapun, saya gembira sebab sambutan menggalakkan malah dimaklumkan ada beberapa peniaga di luar Wilayah mulai datang ke sini untuk berniaga,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas