WK2

Wetland Putrajaya jadi tumpuan dunia

TUMBUHAN air yang ditanam di bahagian punca air masuk sebagai penapis keladak semula jadi untuk Taman Wetland Putrajaya.
TUMBUHAN air yang ditanam di bahagian punca air masuk sebagai penapis keladak semula jadi untuk Taman Wetland Putrajaya.
- Diterbit 18 Julai 2019 5:22 PM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

WETLAND Putrajaya yang dibina pada Mac 1997 dan siap sepenuhnya pada Ogos 1998, adalah kawasan tanah lembab buatan manusia berskala besar yang pertama di Malaysia selain merupakan wetland buatan air tawar terbesar yang dibina di kawasan tropika.

Projek seluas 197 hektar yang dibina di sebuah ladang kelapa sawit suatu ketika dahulu kini berubah menjadi ekosistem akuatik yang menjadi habitat pelbagai haiwan di tengah kesibukan bandar Putrajaya yang sedang berkembang maju. Malah konsep rawatan air mesra alam semula jadinya berjaya menyediakan sebuah tasik yang mencapai standard kualiti air yang tinggi dan selamat digunakan.

Aspek pengurusan dan kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan menepati prinsip-prinsip ekohidrologi telah membawa kepada pengiktirafan antarabangsa di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2010 sebagai Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO kategori operasi iaitu satu-satunya tapak di Malaysia dan satu-satunya tapak di Asia Tenggara yang mendapat pengiktirafan sedemikian rupa.

Pada tahun 2010, sebanyak 32 tapak badan air di seluruh dunia telah mendapat pengiktirafan dan dibahagikan kepada empat ranking iaitu Global Reference Projects, Operational Project, Evolving Projects dan Emerging Projects.

Ia merupakan satu kejayaan terbesar yang mana Tasik dan Wetland Putrajaya berada di ranking kedua iaitu Operational Project bersama enam buah tapak lain di Jerman, Itali, Argentina, China dan Kenya.

Hanya tiga tapak iaitu di Poland dan Portugal mencapai penarafan tertinggi sebagai Global Reference Project.

Kini setelah sembilan tahun berlalu, ternyata satu pencapaian yang unggul apabila Malaysia berjaya mengekalkan pengiktirafan sebagai Tapak Demonstrasi Ekohidrologi Global UNESCO.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Alam Sekitar, Tasik dan Wetland Perbadanan Putrajaya, Normaliza Noordin, bukan suatu perkara yang mudah untuk memastikan prestasi pencapaian berkenaan sentiasa kekal dengan posisi tersebut.

“Status terkini setelah penilaian semula tapak-tapak yang dibuat berdasarkan laporan pengurusan serta Demosite Card menunjukkan hanya 20 tapak dari 18 buah negara yang aktif serta melaksanakan pengurusan mengikut prinsip-prinsip ekohidrologi.

“Kedudukan ranking disemak semula pada tahun 2015-2016 dan pihak UNESCO Ekohidrologi bersetuju pengiktirafan tidak lagi mengikut prestasi pencapaian atau amalan ekohidrologi sebaliknya dibahagikan mengikut kedudukan serta kriteria tapak iaitu Basins, Inland Wetlands, Rivers/Lakes dan Estuaries/Coastal Water,” ujarnya.

Sehingga 2018, terdapat 23 tapak yang diiktiraf (tambahan tiga tapak baru pada 2018) dan Tasik Wetland Putrajaya pula berada di bawah kategori Inland Wetlands.

Kata beliau lagi, awal bulan ini, mesyuarat Tapak Demonstrasi Ekohidrologi Global UNESCO julung-julung kalinya diadakan di Malaysia. Mesyuarat dihadiri oleh 21 orang delegasi antarabangsa mewakili 15 buah tapak yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO serta tujuh tapak pencalonan baharu untuk disenaraikan sebagai tapak ekohidrologi dunia. Walau bagaimanapun, daripada tujuh tapak berkenaan, hanya dua tapak diluluskan menjadikan keseluruhannya pada masa ini 25 tapak Ekohidrologi UNESCO.

Mesyuarat itu turut dihadiri 24 orang peserta dari Malaysia termasuklah pelbagai agensi kerajaan dan universiti antaranya Perbadanan Putrajaya, UNESCO-IHP Malaysia dan Pusat Penyelidikan Kebangsaan Hidraulik Malaysia.

Semua peserta turut dibawa melawat ke sel-sel wetland serta menikmati pelayaran Cruise Tasik Putrajaya.

“Lebih istimewa ia diadakan di Putrajaya di mana status semasa serta pencapaian dari aspek perkhidmatan ekosistem Tasik dan Wetland Putrajaya turut dibentangkan serta delegasi UNESCO turut dapat melihat sendiri pencapaiannya sebagai salah satu tapak demonstrasi ekohidrologi di rantau Asia Pasifik ketika ini,” ujarnya.

Selain memberikan perkhidmatan ekosistem sebagai tapak lokasi aktiviti sukan dan reakreasi, sebagai ejen pembersih, Tasik dan Wetland seluas 600 hektar turut menjadi rumah kepada pelbagai fauna, tapak penyelidikan ilmiah serta memberi nilai tambah dalam peningkatan nilai hartanah.

Konsep semula jadi wetland

Keistimewaan wetland ialah tentang konsep rawatan air mesra alam secara semula jadi. Wetland Putrajaya ditanam dengan beberapa spesies tumbuhan dan vegetasi air yang bertindak untuk menapis secara semula jadi air yang mengalir melaluinya.

Ia akan menyingkirkan bahan cemar khususnya nutrien seperti nitrat dan fosfat dalam air larian permukaan sebelum ia mengalir masuk ke dalam tasik. Selain itu, ia juga berperanan penting dalam pencapaian ekosistem perbandaran.

Daripada rekod pemantauan, diversiti fauna khususnya burung dan serangga meningkat berbanding ekosistem sebelum Putrajaya dibangunkan ketika masih diliputi oleh ladang getah dan kelapa sawit.

Justeru pembangunan wetland bukan sekadar sebagai ejen pembersihan, jauh daripada itu pembangunan wetland turut menyediakan habitat yang kondusif kepada pelbagai haiwan.

Di Wetland Upper Bisa yang terletak di Presint 16, dapat dilihat koloni burung pucung serandau, bangau dan burung botak padi dalam kuantiti yang banyak pada satu-satu masa. Keadaan ini adalah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana lokasi habitat burung tersebut berada di tengah bandar.

Tasik dan Wetland mengunjur dari utara ke selatan, timur dan barat Putrajaya bersempadan dengan 15 daripada 20 presint di Putrajaya (kecuali Presint 7, 9, 14, 15 dan 20). Dengan yang demikian, sesiapa yang datang ke Putrajaya pastikan akan bertembung dengan ekosistem akuatik buatan di Putrajaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas