Berita

WBB akan diteruskan di Kuala Lumpur

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika sidang media selepas menyerahkan bantuan MyFood@Wilayah di Taman Desa. Gambar - NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 7 September 2021 12:06 PM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan belum membuat sebarang rancangan untuk membatalkan program Wilayah Bebas Berniaga (WBB).

Menterinya Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, bahawa pihaknya akan meneruskan program sedia ada yang dilancarkan di bawah pendahulunya Tan Sri Annuar Musa.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membuat penambahbaikan terhadap program peniaga jalanan.

“Segala perubahan akan diumumkan dari waktu ke waktu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan bantuan MYFood@Wilayah di Taman Desa di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Datuk Zaizalnizam Zainun.

Beliau berkata, semua polisi yang baik akan diteruskan meskipun berlaku peralihan kerajaan.

“Polisi ini baik dan kita akan buat penambahbaikan yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Bila sampai masa (tarikh luput), kita akan teruskan dan jika berlaku pertukaran kerajaan tidak akan menjejaskan polisi yang baik.

“Semua kerja-kerja baik yang telah dibuat oleh rakan-rakan saya sebelum ini, Ku Nan (Tengku Datuk Seri Adnan Tengku Mansor), Tan Sri Annuar Musa akan diteruskan dan bersama dengan timbalan saya, kami akan teruskan dengan hebat,” katanya.– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas