Berita

Warganet mahu Program Vaksin Bergerak diperluaskan

ANNUAR (kiri) turun padang bagi meninjau keadaan semasa Program Vaksin Bergerak dijalankan di PPR Kampung Muhibbah Isnin lalu.
- Diterbit 9 Jun 2021 3:08 AM MYT

PELBAGAI reaksi positif serta cadangan diterima setelah Program Vaksin Bergerak dimulakan Isnin lalu.

Menerusi tinjauan Wilayahku di media sosial, majoriti pemilik akaun memberikan maklum balas postif terhadap hantaran yang dimuatnaik menerusi laman Facebook Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa mengenai kunjungannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah yang menjadi test pilot bagi program tersebut.

Mereka memuji usaha berkenaan sebagai satu langkah yang baik dalam memastikan kebajikan serta kesihatan golongan rentan terpelihara.

Salah seorang pengguna Facebook, @Anderson Teh turut meminta agar jumlah trak vaksin bergerak ini dapat ditambah dan dipercepatkan lagi proses vaksinasi.

“Bagus Program Vaksin Bergerak ini kepada orang tua dan OKU, lindungilah orang tua. Jasa mereka mesti dihargai. Tambahkan lagi jumlah trak vaksin. Speed up process. Malaysia Boleh, Jalan ke arah membangun balik ekonomi Malaysia,” tulisnya.

Bagi @Mohd Affie pula, program sebegini perlu diperluaskan agar pemberian vaksin dapat dipercepatkan serta berharap agar setiap PKD turut melakukan inisiatif yang sama terutama di kawasan kampung.

Turut berpandangan sama, @Mohd Ikhwan Hakeem merasakan pemberian vaksin terus kepada rakyat seperti ini adalah lebih baik terutama kepada warga emas di PPR bandar dan juga di kawasan kampung yang tidak mempunyai kenderaan untuk bergerak ke pusat vaksinasi yang ditetapkan.

@Kaybee Betta Farm turut memuji inisiatif Annuar yang sentiasa berbakti dan mendahulukan rakyat di bawah jagaannya dan menyifatkan penduduk Wilayah Kuala Lumpur sangat beruntung mempunyai program sebegitu.

Antara pengguna Facebook yang lain, @Matt Liee mengucapkan tahniah kepada Annuar dan menyatakan bahawa beliau antara pemimpin yang cakna kepada rakyatnya sehingga timbulnya idea kreatif seperti ini untuk kebaikan bersama.

Dalam pada itu, seorang pengguna Facebook, @Norhayati Ismail turut berharap program sebegini dapat dilakukan di negeri Kelantan terutama di kawasan kampung bagi mempercepatkan proses untuk mencapai imuniti kelompok. – WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas