Berita

Warga Seni Bersyukur Kerajaan Prihatin

|AHMAD Idham|DELIMAWATI bersyukur atas keprihatinan kerajaan|SHEILA Mambo antara penerima rumah PPR
- Diterbit 19 September 2020 10:00 PM MYT

KALAU sudah rezeki takkan ke mana. Begitulah rezeki 25  penggiat seni yang menerima surat tawaran menyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) pada 10 September baru-baru ini.

Mereka menerima PPR di bawah Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin menerusi program yang diusahakan oleh FINAS serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Turut hadir pada majlis di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya itu adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Daripada jumlah itu, seramai 19 penerima ditawarkan kediaman di PPR Sri Aman Kuala Lumpur dengan baki enam penerima lagi ditempatkan di PPR Lembah Subang 2.

Antara penggiat seni yang menerima surat tawaran untuk fasa pertama itu ialah Badrul Muhayat,  Alina Hassan, Siti Fairus, Wan Nor Azlin, Mubarak Majid, Zaleha Saleh, Ayati Tasrip, Nor Albaniah, Mahmud Ali  Basha, Dalimawati, Can Gek New dan ramai lagi.

Penggiat seni yang layak memohon terdiri daripada artis veteran termasuk kru yang kurang berkemampuan. 

 

“Mereka tidak tahu cabaran warga seni” – AHMAD IDHAM

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, menjelaskan masyarakat sering menganggap warga seni adalah golongan berduit dan hidup mewah.

“Hakikatnya, mereka tidak tahu cabaran yang dilalui warga seni. Apabila diteliti, barulah kita tahu ada antara mereka memerlukan bantuan seperti ini.

“Situasi begini banyak dilihat ketika kami turun padang menziarahi warga seni,” katanya.

AHMAD Idham

Ahmad Idham berkata, bantuan tidak terhad hanya kepada pelakon, malah penyanyi dan kru belakang tabir juga layak memohon.

“Penggiat seni berbangsa Cina dan India juga dibantu kerana setiap rakyat berhak memohon menyewa unit PPR,” katanya yang menegaskan warga seni yang memohon juga melalui proses yang sama seperti rakyat lain.

Menurut Ahmad Idham lagi, kira-kira 60 permohon diterima di mana setiap satunya disaring KPKT, bukan FINAS.

“Alhamdulillah, kementerian bersetuju memperuntukkan 55 unit PPR kepada warga seni di bawah program ini.

“Sejak tahun lalu, FINAS membuka permohonan di mana kami menghebahkannya dalam pelbagai medium, laman sosial dan melalui sesi townhall serta bengkel yang dianjurkan FINAS. 

“Warga seni melalui proses saringan sama seperti rakyat lain. Mereka perlu mengemukakan borang pengesahan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.

“Jika dokumen tidak lengkap atau tidak memenuhi kriteria, permohonan akan ditolak,” katanya lagi.

 

DELIMAWATI Hargai Keprihatinan Kerajaan

Pelakon filem Hantu Mak Limah, Delimawati Ismail, 62, adalah antara 25 penggiat seni yang menerima surat tawaran menyewa unit PPR.

Delimawati bakal mendiami rumah di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya.

DELIMAWATI bersyukur atas keprihatinan kerajaan

“Saya bersyukur atas keprihatinan kerajaan kepada kami artis veteran.

“Ketika permohonan dibuka, saya terfikir kenapa perlu lepaskan peluang ini. Ketika ada tawaran berlakon, memanglah tiada masalah hendak membayar sewa RM1,000 sebulan.

“Artis veteran seperti kami, tawaran lakonan sering tidak menentu. Saya tidak peduli apa orang kata. 

“Ini rezeki kita, jadi terima sahajalah. Apa yang penting, saya tidak menyusahkan dan mengharap bantuan orang,” katanya yang tiada tawaran berlakon sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac lalu.

Jika sebelum ini Delimawati tinggal di rumah sewa di Puchong, Selangor, bersama anak, tidak lama lagi mereka boleh berpindah  kediaman baharu dengan kadar sewa rendah iaitu kira-kira RM200 sebulan.

 

“Jangan ingat semua artis kaya” – SHEILA MAMBO

Pelakon Sheila Mambo mengaku tidak pernah membeli rumah sendiri kerana kos tinggi. Disebabkan itu, Sheila telah menyewa rumah di Hulu Kelang lebih 20 tahun.

Sheila juga berterima kasih kepada FINAS kerana memberi laluan ini kepada artis-artis veteran.

SHEILA Mambo antara penerima rumah PPR

“Saya tidak peduli apa orang cakap. Jangan ingat semua artis kaya. 

“Kami juga rakyat Malaysia, jadi kami layak memohon PPR. Jangan pertikaikan rezeki yang Allah beri kepada kami,” luah Sheila yang  menerima surat tawaran menyewa rumah PPR di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas