Berita

Warga Amerika teringat kenangan di Malaysia, beri semangat hadapi Covid-19

KEUPAYAAN Leon bertutur dalam bahasa Melayu dan menyanyi lagu Negaraku menarik perhatian netizen.
- Diterbit 19 April 2020 5:35 AM MYT

PUTRAJAYA – Seorang warga Amerika Syarikat mencuri tumpuan apabila fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan menyanyikan lagu kebangsaan ‘Negaraku’.

Leon J. Muffet yang kini tinggal di Ridgefield, Washington dalam pengkongsian berdurasi 2.09 minit itu menyatakan video itu bertujuan menambah semangat kepada rakyat Malaysia dalam mengatasi pandemik Covid-19.

Beliau yang dikatakan bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan Air Itam, Kedah sekitar tahun 1970-an menganggap dirinya sebagai anak angkat Malaysia.

“Negara yang indah dan damai, aman dan sentosa, negaraku juga.

“Sahabat-sahabat karib, kaum keluarga di seluruh negara, silakan berdiri untuk nyanyian lagu kebangsaan kita,” katanya.

LEON bergambar bersama sekumpulan remaja dipercayai anak-anak muridnya di Kampung Air Hitam.

Menerusi video tersebut juga, Leon yang digelar anak muridnya sebagai ‘kerbau balar’ memberitahu rasa rindunya terhadap rakan-rakan di Malaysia.

“Engkau semua adalah jauh di mata namun tetapi dekat dihati,” jelasnya.

Video yang di muat naik sejak 15 April di laman sosial Facebook itu telah menerima 3,300 komen, 10, 000 perkongsian pautan dan 208,000 yang melihatnya.

Ikuti luahan perasan beliau dalam posting di laman Facebooknya pada 16 April lalu selepas video yang muat naik sebelum itu mendapat limpahan maklum balas.

KEBANJIRAN KASIH SAYANG!

Entahlah bagaimana nak mula cakap sekarang ini. Saya habis fikiran dan hilang suara—tak ada kata kata yang sesuai. Kerbau balar Lubuk Pinang ini (kerbau balar adalah nama panggilan/nama kesayangan yang pernah diberikan kepada saya oleh anak muridnya di Sekolah Menengah Air Hitam, Air Hitam, Kedah rasa penuh dengan syukuran.

Hati saya terharu, penuh dan berlimpah limpah dengan perasaan kasih sayang di atas ribuan (sampai hari ini, hampir 7,000) balasan terbaik dan sangat bermakna yang saya terima daripada ribuan orang di sana setelah sampaikan ucapan salam dan menyanyikan Lagu Kebangsaan Malaysia di Facebook semalam. Tujuan saya adalah ingin memberi semangat dan tabah hati kepada bekas anak murid saya dari Sekolah Menengah Air Hitam—anak murid yang telah menjadi keluarga, anak murid yang disayangi sama seperti anak dan cucu keturunan saya.

Oleh kerana saya tak tahu kata kata yang mencukupi atau yang sesuai untuk membawa isi hatiku kepada engkau semua, terpaksalah saya menggunakan kata kata yang biasa, tetapi dengan ertinya dan perasaan di hati yang luar biasa. Sahabat sahabat dan kaum keluarga di seluruh negara, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada engkau semua dengan hati yang ikhlas.

Walau pun hati saya ingin menerima permintaan menjadi kawan Facebook daripada setiap orang yang mintanya (sekarang jahu melebehi 1,000 permintaan), tak mungkin ada cukup waktu atau tenaga untuk bercakap dan berbalas budinya begitu banyak orang.

Maklumlah, kerbau balar ini tak layak lagi menarik tenggala 8-9 jam sehari. Walau pun Mat Salleh ini masih ada rambut dan gigi (alhamdullilah), tenaga badannya lebih mirip badannya Siburung kakatua yang giginya tinggal dua.

Maka sementara ini, saya minta tolong jangan rasa tersinggung atau kecil hati kalau saya tak mampu berkawan Facebook dengan semua saudara saudari yang mintanya. Walau pun tak dapat kita semua menjadi kawan Facebook disebabkan batasan tenaga dan waktu saya, pertalian keluarga dan persahabatan kita tetap erat untuk selama lamanya. Sekian saja dengan ucapan terima kasih dari hati ke hati. Istimewa untuk bekas anak muridku (dalam bahasa seharian loghat Kedah), aku betui betui sayang hangpa semua. Jangan dok pi mana pun sampai habis kuarantin. Hangpa jauh di mata tapi dekat di hati. Ingatlah kata kata ini dalam bahasa Mat Salleh, “stay home, stay safe!” Salam rindu dan salam bahagia sampai berjumpa lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas