Artikel

Wanita… Kerana anda begitu istimewa!

- Diterbit 19 September 2020 9:00 AM MYT

DUNIA yang serba lengkap ini tidak boleh terjadi dengan sendirinya. Pada alam yang terbentang ini manusia dapat melihat bukti-bukti kejadian dan kuasa Maha Pencipta ke atas alam dan isinya.

Gunung-ganang, padang mendatar, flora dan fauna, lautan terbentang, sungai yang berliku, tasik yang mendamaikan serta angin yang berhembus, kesemuanya dapat dilihat dan dirasakan.

Adakala mendamaikan dan adakala alam terbentang ini juga ada bahasanya bagi mengungkapkan kekesalannya kepada sesetengah sikap manusia.

Manusia yang Allah jadikan pula ada pelbagai jenis bangsa dan keturunan.

Daripada pelbagai keturunan itu, secara fitrah kita memahami manusia itu Allah jadikan daripada lelaki dan perempuan seperti dalam Surah an-Nisa’, ayat pertama yang bermaksud: “Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan (Allah) menciptakan pasangannya (Hawa) dan dari (dirinya) dan lalu dari keduanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Bertakwalah kepada Allah dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan peliharalah hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu.”

Wanita, makhluk istimewa yang padanya dunia dan manusia memulakan kisahnya.

Apabila dikaitkan dengan wanita, pelbagai cerita yang boleh kita peroleh sama ada positif mahupun sebaliknya.

Namun tidak ramai antara kita benar-benar mahu memahami betapa wanita yang Allah perindahkan dengan kehalusan akal budi ini adalah makhluk yang telah Allah sempurnakan sifat kejadiannya sebagaimana yang dikehendaki-Nya.

Mari sama-sama kita teliti tiga buah buku Dewan Bahasa dan Pustaka kali ini tentang perihal wanita khususnya kesihatan dan gejala menopaus wanita yang jarang-jarang diperkatakan secara terbuka.

Para wanita di luar sana boleh memiliki ketiga-tiga buah buku ini melalui portal DBPNiaga.my.

INKONTINENS URIN MENGAPAKAH WANITA LEBIH BERISIKO?
(Dariah Mohd. Yusoff, 2019)

Menurut penulis dalam prakatanya inkontinens urin telah diiktiraf sebagai satu daripada penyakit kronik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002.

Inkontinens urin ditakrifkan sebagai keadaan tidak dapat mengawal pengeluaran air kencing disebabkan oleh kelemahan otot sfinkter uretra eksternal.

Mungkin sesetengah wanita menyedari hal ini, namun berasa malu atau tidak yakin untuk melaporkan kepada doktor.

Ayuh dapatkan buku ini, agar anda mendapat maklumat lebih jelas tentang gejala yang sedang anda alami.

Keadaan yang berlaku ini tidak harus dipandang ringan dan anda juga boleh membantu sahabat yang mungkin sedang mengalami gejala penyakit ini.

Buku ini mengandungi lima bab dan setiap bab membincangkan inkontinens urin secara terperinci agar pembaca dapat memahaminya, termasuklah mengetahui faktor penyebab dan simptom penyakit ini.

Dalam bab pertama, penulis menghuraikan secara terperinci faktor penyebab dan simptom yang menyebabkan pesakit menderita.

Dalam bab seterusnya penulis menghuraikan golongan berisiko dan sebab wanita lebih berisiko mengalami penyakit ini.

Penulis juga membincangkan jenis inkontinens urin dan tahap keseriusannya kepada seseorang pesakit.

Langkah-langkah pencegahan penyakit ini dikongsikan oleh penulis dalam bab keempat.

Melalui bab ini penulis memberikan panduan dari segi makanan dan minuman, seperti jenis makanan yang boleh diambil oleh pesakit.

Tabiat perkumuhan juga diambil kira bagi menentukan langkah pencegahan dan sudah pasti gaya hidup sihat dengan aktiviti fizikal yang teratur akan dapat membantu pencegahan penyakit ini.

Dalam bab yang kelima, penulis memperjelaskan rawatan-rawatan yang akan diberikan kepada pesakit.

Jenis-jenis rawatan yang diberikan kepada pesakit serta terdapat juga rawatan melalui pembedahan dan pengambilan produk tambahan akan mempercepatkan memulihkan penderita penyakit ini.

Berdasarkan perkongsian oleh penulis melalui buku ini sebenarnya semua wanita berisiko untuk mengalami inkontinens urin, dan sebaiknya jika seseorang mengalami gejala yang telah disebutkan oleh penulis, segeralah anda mendapatkan rawatan.

Usah malu dan raihlah pengetahuan awal mengenai penyakit ini daripada buku ini.

MADU DAN WANITA MENOPAUS KENYATAAN DAN HARAPAN 
(Nik Hazlina Nik Hussain, 2019)

Masih penulis yang sama, pakar perubatan merangkap Pengarah Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia ini sentiasa sahaja memugar dan mencari formula terbaik untuk para wanita menempuhi fasa menopaus ini.

Kali ini penulis membuat analisis dan kajian terhadap madu dan khasiatnya kepada wanita menopaus.

Buku ini mengandungi tujuh bab dan setiap bab memperincikan menopaus dan kaedah yang boleh diambil agar wanita menerima fasa ini dengan fikiran positif.

Sudah pasti ada perihal menarik yang ingin dikongsikan oleh penulis melalui bukunya yang kedua ini.

Selepas sembilan tahun buku pertama diterbitkan, kali ini penulis memperkenalkan pula sumber alam semula jadi iaitu madu untuk kegunaan dan perawatan kaum wanita.

Dalam bab pertama, penulis memperincikan tentang lebah dan produk lebah, dan mengapa lebah yang dipilih sebagai formula kepada wanita yang menempuhi fasa menopaus ini.

Antara produk lebah yang dikongsikan ialah jeli raja, roti lebah, lilin lebah dan apitoksin.

Menurut penulis, pengambilan madu lebah merupakan antara langkah untuk wanita menjadi lebih sihat dan bertenaga semasa melalui fasa menopaus ini.

Kajian daripada Ibnu Sina, seorang ilmuwan Islam yang terkenal terhadap madu lebah juga dikongsikan oleh penulis.

Kebiasaannya wanita yang menempuh fasa ini perlulah bersedia dari segi mental dan fizikal.

Ini kerana cakap-cakap yang mengatakan fasa ini ialah masa untuk berehat bagi pandangan penulis akan mengundang “bunga penyakit” kepada diri wanita itu sendiri.

Menurut penulis tanggapan ini perlu diperbetulkan kerana tiada istilah otak berehat menjelang umur tua, memandangkan belajar merupakan satu proses yang perlu dilakukan sepanjang hayat!

Amalan gaya hidup sihat juga penting diberi perhatian oleh kaum wanita bukan sahaja semasa menopaus malah senaman dan aktiviti riadah adalah rutin bagi kehidupan sihat wanita secara keseluruhannya.

Bagi penulis, apa yang penting para wanita di luar sana mestilah memahami setiap gejala yang melanda dirinya boleh dikurangkan atau dicegah sekiranya mereka sentiasa berfikiran positif dan sentiasa berdoa agar kebahagiaan yang dimiliki akan kekal sehingga ke akhir hayat.

Kesejahteraan hidup dengan dianugerahkan kesihatan yang baik, bebas daripada penyakit kronik merupakan suatu rahmat yang besar ertinya. Semoga umur menopaus memberikan anda kepuasan serta kesyukuran kepada Maha Pencipta, betapa anda telah menemukan kesempurnaan hidup anda!

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas