Agama

Wanita istihadah boleh beriktikaf di masjid

Gambar hiasan Gambar hiasan
- Diterbit 10 Januari 2020 6:46 AM MYT


Soalan:
Saya ingin bertanya kepada Datuk Mufti, ketika saya sedang melalui waktu istihadah, adakah saya dibenar masuk masjid dan beriktikaf?

Jawapan: DALAM menjawab persoalan ini, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha katanya, Fatimah binti Abu Hubaish menemui Rasulullah SAW dan bertanya: Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Aku perempuan yang didatangi darah istihadah dan masih belum bersuci, adakah aku perlu meninggalkan solat?

Jawab Baginda SAW: “Tidak perlu kerana darah itu ialah darah penyakit, bukannya darah haid. Ketika kedatangan haid tinggalkanlah solat dan apabila tempohnya habis hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah dan dirikanlah solat.” Riwayat al-Bukhari (236) dan Muslim (333)

Berdasarkan hadis di atas, terdapat beberapa perkara yang perlu difahami. Pertama, istihadah adalah darah yang keluar pada bukan waktu keluar haid dan nifas. Sama ada darah keluar kurang daripada 24 jam atau selepas 15 hari haid. Lihat Hasyiah al-Baijuri (1/212). Kedua, hukum berkaitan istihadah adalah berbeza dengan hukum ketika haid dan nifas. Orang yang didatangi istihadah tidak terhalang untuk melakukan solat, puasa dan semua ibadah yang memerlukan suci daripada hadas. Ini bertepatan de
ngan apa yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

Maksudnya, orang yang sedang istihadah seperti (mengambil hukum) orang yang suci dalam (hukum) solat, puasa, iktikaf, membaca al-quran dan lain-lain. Lihat al-Majmu’ (2/372).

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami berpendapat tidak menjadi permasalahan untuk orang yang sedang istihadah untuk beriktikaf di dalam masjid. Namun hendaklah memastikan tidak berlaku kebocoran atau menyebabkan darah menitik hingga mengotorkan dewan solat.

Selain itu, rujuk juga persoalan-persoalan berkisar tentang istihadah yang telah kami jawab dalam beberapa artikel kami yang kami terbitkan sebelum ini:
• Irsyad Al-Fatwa Siri Ke -226: Keluar Darah Dari Faraj Kerana Pembedahan Buang Fibroid
• Al-Kafi #685: Darah Istihadah Mengikut Tamyiz Atau Adat? Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala suruhan-Nya. Amin.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas