Berita

Wanita didakwa bunuh kucing

- Diterbit 18 Januari 2021 4:40 AM MYT

SEORANG wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul dua ekor kucing baka tempatan hingga menyebabkan kematian kedua-dua haiwan itu, bulan lepas.

Hah Choy Kheng, 51, yang bekerja sebagai broker, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut pertuduhan, Hah didakwa dengan kejam memukul seekor kucing betina baka tempatan berwarna oren dan seekor anak kucing baka tempatan berwarna putih kelabu dengan sebatang besi sepanjang 75 sentimeter hingga menyebabkan kedua-dua haiwan itu mati.

Wanita tersebut dituduh melakukan perbuatan itu di bawah pokok berhampiran pondok berbumbung dalam kawasan padang permainan Blok B1, Pintas Kalui 1, Seberang Jaya di sini pada jam 1.20 petang, 29 Dis lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh diwakili peguam Shamsher Singh Thind. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas