Berita

Wanita bukan pencabar tetapi pelengkap – Rina Harun

- Diterbit 14 Mac 2021 6:00 AM MYT

WANITA Bangkit Mendepani Cabaran diangkat sebagai tema sambutan Hari Wanita 2021 adalah untuk meniup semangat juang wanita dalam mengharungi cabaran hidup.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menjelaskan peranan wanita bukanlah sebagai pencabar kepada lelaki sebaliknya menjadi pelengkap.

“Perlu kita saling ingat-mengingati bahawa bangkitnya wanita bukanlah untuk mencabar dunia lelaki, tetapi untuk kita berperanan saling melengkapi.

“Atas sebab itu, pentingnya untuk kita turut mendapat sokongan lelaki, sebagai ejen perubahan, ia akan membuka lebih banyak ruang bagi mencapai inklusiviti untuk wanita.

“Semoga motivasi ini menjadi pencetus kepada kesedaran yang lebih tinggi, oleh semua pihak bahawa penyertaan wanita dalam peringkat pembuat keputusan sesebuah organisasi, bukanlah bersifat ‘penyeri halaman’, tetapi pandangan, kepakaran serta ketelitian mereka adalah salah satu penyebab kepada tadbir urus serta keputusan pelaburan yang lebih baik bagi syarikat,” jelas Rina Harun yang menegaskan kepentingan peranan wanita.

Rina juga mengatakan, tema yang dipilih sempena Hari Wanita 2021 ini adalah bersesuaian dengan situasi semasa sekarang.

“Pemilihan tema ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’ pada tahun ini juga telah kita sesuaikan, dengan konteks semasa di mana masih terdapat beberapa halangan yang perlu ditangani dalam usaha kita mengangkat martabat wanita.

“Contohnya, stereotaip terhadap kepemimpinan wanita, serta isu-isu keganasan berasaskan gender, yang masih menyasarkan wanita, termasuklah sebagai mangsa pemerdagangan manusia, eksploitasi seks, dan juga keganasan rumah tangga.

“ Tidak cukup dengan situasi diskriminasi gender yang didepani oleh para wanita, kini, pandemik COVID-19 pula telah memberikan dugaan baharu yang lebih mencabar buat wanita untuk meneruskan kehidupan.

“Atas sebab inilah, tema ini diangkat bukan sekadar sebagai suatu penegasan, terhadap kesukaran yang dilalui oleh rakyat terutamanya wanita dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19, tetapi bersama dengannya, Kementerian komited untuk melaksanakan perubahan bagi membela hak-hak manusia sejagat, khususnya wanita,” jelasnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas