Premis makan boleh beroperasi sehingga pukul 2 pagi

Premis makan boleh beroperasi sehingga pukul 2 pagi

KEMASKINI Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju membenarkan premis-premis makan dan kedai serbaneka di Kuala Lumpur beroperasi hingga pukul 2.00 pagi mulai esok.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu selari dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lalu.

“Saya berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham A Dahlan sebentar tadi kerana MKN sudah memberi kelonggaran itu.

“… peniaga telah kerugian banyak, kalau dia (perniagaan) tidak mengancam keselamatan sebagaimana yang dinilai oleh MKN, saya bersetuju supaya pihak DBKL membenarkan, buka sampai pukul 2.00 pagi. Tetapi SOP mesti dipatuhi sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pengindahan Taman Awam Bukit Kiara di sini, hari ini.

Semalam, DBKL memaklumkan waktu operasi premis perniagaan di Kuala Lumpur masih kekal sehingga pukul 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawasan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CMCWPKL), semalam.

Terdahulu pada 10 Sept lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan waktu operasi premis perniagaan seperti kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga pukul 2.00 pagi berbanding 12 tengah malam yang ditetapkan sebelum ini.

 

BERITA SEBELUM INI

Waktu operasi premis perniagaan di KL kekal sehingga 12 malam – DBKL

WAKTU operasi premis perniagaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) masih kekal sehingga pukul 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Pengurusan Krisis WPKL (CMCWPKL) yang bersidang pada 11 Sept.

Kenyataan itu berkata keseragaman waktu itu adalah bagi memudahkan pemantauan dilaksanakan oleh DBKL dan lain-lain agensi.

“Sepanjang tempoh PKPP, DBKL bersama lain-lain agensi telah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP ke atas 7,200 premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur.

“Hasil pemantauan yang dilaksanakan setiap hari mendapati tahap pematuhan SOP PKPP ini masih perlu ditingkatkan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Pada 10 Sept lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan waktu operasi premis perniagaan seperti kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga pukul 2.00 pagi berbanding 12 tengah malam yang ditetapkan sebelum ini.

Beliau dilaporkan berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas hari ini selepas menerima banyak aduan pemilik premis yang pendapatan mereka terjejas kerana waktu operasi terhad.

Sehubungan itu, DBKL memohon kerjasama pemilik, pengendali premis perniagaan dan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan oleh pihak kerajaan serta kekal mengamalkan kawalan kendiri, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan dan penjarakan fizikal apabila berada di tempat awam. – BERNAMA

CATEGORIES