Personaliti

Wafa idam cipta nama di China

- Diterbit 6 Disember 2019 10:12 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

Hobi menyanyi sejak umur sembilan tahun membuatkan gadis tinggi lampai yang dikenali sebagai Wafariena Roslan, 24, nekad untuk mencuba nasib sebagai penyanyi.

Bermula sebagai model dan pernah muncul dalam filem Buntat, kini anak kelahiran Pulau Pinang ini mula melebarkan sayapnya dalam bidang nyanyian.

Bernaung di bawah label Map Music, dia baru sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Carilah Aku hasil ciptaan Johari Teh dan lirik ditulis oleh Aryan.

Menyedari bukan mudah untuk berada dalam industri seni yang penuh saingan ini, Wafa bersyukur kerana bertemu dengan saluran yang betul untuk mempersembahkan bakat yang dimiliki.

“Alhamdulillah akhirnya impian saya untuk bergelar penyanyi tercapai dan yang pasti saya tidak akan mempersia-siakan peluang yang diperoleh,” ujarnya.

Mampu menyanyi dalam pelbagai bahasa antaranya Mandarin, Filipina, Bollywood dan Thailand, ia merupakan kelebihan yang ada padanya untuk mengorak langkah jauh ke hadapan.

“Jika diberi peluang, saya bukan sahaja mahu dikenali dalam negara bahkan ingin mengikut jejak langkah penyanyi popular, Shila Amzah yang berjaya mencipta nama di China.

“Mungkin dengan kebolehan saya berbahasa Mandarin, siapa sangka saya juga mampu untuk berjaya seperti diri­nya,” ujar gadis yang pandai memasak ini.

Tambahnya lagi, selain Shila Amzah, dia juga kagum dengan pencapaian penyanyi Yuna. Kehebatan kedua-dua penyanyi ini membuatkannya yakin tiada yang mustahil jika sentiasa bekerja keras dan fokus dengan apa yang dilakukan.

“Insya-Allah dengan restu keluarga dan bakat yang dimiliki, saya akan sentiasa bersemangat untuk terus berkarya dalam industri muzik. Saya juga amat berharap agar kehadiran diri ini diterima ramai,” ujarnya.

Menyentuh tentang lirik single terbaharunya yang sudah pun berada di semua rangkaian muzik sejak November lalu, menurut Wafa, ia mengisahkan tentang kisah percintaan dua insan yang terpisah disebabkan jarak jauh.

“Berjauhan dengan pasangan adalah menyakitkan. Dalam lagu itu, wanita tersebut berharap dapat bertemu kembali dengan kekasihnya dan kekal bahagia,” ujarnya yang berharap lagu bergenre balada itu mampu menembusi pasaran.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas