Berita

Vaksinasi COVID-19 – Pengalaman sekali seumur hidup

- Diterbit 3 Mac 2021 2:22 AM MYT

PERASAAN saya bercampur baur apabila mengetahui saya antara 10 wakil media di pulau bebas cukai ini yang akan diberikan suntikan vaksin COVID-19 bersama-sama petugas barisan hadapan kesihatan.

Banyak persoalan berlegar di fikiran. Saya bertanyakan kepada diri sendiri, walaupun jaminan sudah diberikan oleh pihak berkuasa, adakah vaksin ini halal atau haram.

Kemudian, terlintas di kepala mengenai kesan sampingan yang dilaporkan. Adakah saya akan mengalami kesan sampingan? Adakah saya perlu mengambil cuti dan berehat daripada bekerja seketika? Adakah saya akan dimasukkan ke hospital?

Saya perlu yakin dengan pemikiran positif. Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) telah divaksin.

Pemikiran positif itu melebihi yang negatif. Saya membuat keputusan untuk terus mengambil vaksin. Saya juga dipengaruhi dengan kepercayaan bahawa ia akan melindungi saya, keluarga dan rakan media dengan lebih baik.

Hari yang dinanti telah tiba – Sabtu, 27 Feb – pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Labuan.

Saya tiba di pusat vaksinasi – Klinik Kesihatan Membedai – pada 8 pagi, perasaan sedikit gementar. Bersama-sama saya, koresponden Bernama Labuan ialah jurugambar Bernama Labuan Muqtadir Halim.

Terdapat lapan lagi wakil media iaitu enam daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan dua orang daripada Jabatan Penerangan. Kami semua adalah petugas barisan hadapan bukan kesihatan yang terpilih untuk menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech pada hari itu.

Tidak lama kemudian, semua telah selesai. Saya melepaskan nafas lega. Saya rasa yakin, saya buat pilihan yang tepat. Bagi saya, ia merupakan detik bersejarah. Kini, negara mempunyai sekurang-kurangnya seorang yang berkemungkinan bukan penyebar penyakit ini.

Selepas divaksinasi, tangan kiri saya rasa sakit sedikit. Saya juga agak letih. Tetapi, saya tidak demam, rasa seram sejuk atau sakit badan. Saya juga tidak mengambil parasetamol. Keletihan hilang selepas saya minum segelas air.

Saya memilih untuk menerima vaksin supaya saya dapat merasa selamat pulang ke rumah bertemu keluarga setiap hari, bersama anak-anak saya tanpa rasa takut.

Mendapatkan vaksin adalah penting kerana vaksin inilah diperlukan masyarakat untuk mengubah haluan virus ini dalam masyarakat. Tetapi, buat masa ini, saya akan terus memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan kerap.

Kesemua yang menerima suntikan vaksin dipantau selama 15 minit untuk sebarang reaksi alahan. Kami dimaklumkan untuk datang semula bagi suntikan dos kedua pada 20 Mac.

Wakil media yang lain turut mengalami kesan sampingan yang sama seperti saya. Muqtadir berkata beliau merasa sakit sedikit pada tempat suntikan tetapi rasa itu hilang keesokannya.

“Saya memilih untuk menerima vaksin COVID-19 kerana tidak mahu mengambil risiko menyebarkan virus kepada ahli keluarga, kawan atau rakan sekerja saya,” katanya.

Jurukamera RTM Labuan Nur Hidayanie Idris berkata beliau tidak merasakan kesan sampingan yang besar dan berpandangan mendapatkan vaksin bukan sahaja melindungi diri tetapi juga keluarga, saudara-mara, rakan dan masyarakat.

“Apabila anda memilih untuk divaksin, anda memainkan peranan untuk membantu menamatkan pandemik global ini. Saya memilih untuk menjaga keselamatan diri sendiri supaya saya dapat menjaga keselamatan kawasan kejiranan saya,” katanya.

Wartawan RTM Labuan Mohd Izuandi Jaluddin pula teruja untuk mendapat suntikan vaksin dan katanya rasa sakit pada tempat suntikan hilang pada keesokannya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan turut mendapat suntikan vaksin pada hari berkenaan.

Beliau berkata apabila sudah divaksin, beliau boleh meluangkan lebih banyak masa bersama ibu bapanya yang sudah tua dan rindu untuk bertemu mereka. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas