Berita

Vaksin COVID-19: Tempoh setahun untuk negara capai imuniti kelompok – Saintis

- Diterbit 8 Februari 2021 8:07 AM MYT

NEGARA dijangka memerlukan tempoh setahun untuk mencapai imuniti kelompok bagi vaksinasi penyakit bawaan virus COVID-19 melalui Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19 yang menjadi program vaksinasi terbesar di Malaysia.

Saintis Ts. Dr Ummirul Mukmimin Kahar daripada Institut Genom Malaysia, Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) berkata untuk mencapai imuniti kelompok, 80 peratus rakyat perlu disuntik dengan vaksin COVID-19.

Malaysia dijangka menerima vaksin COVID-19 daripada Pfizer-BioNTech pada penghujung Februari dengan petugas barisan hadapan menjadi penerima awal vaksin itu.

“Selepas itu, Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19 akan bermula menjadikan ia satu program vaksinasi terbesar di Malaysia. Pemberian vaksin akan dilaksanakan menerusi tiga fasa dan akan berjalan hingga Februari 2022,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas melalui aplikasi Zoom di sini hari ini.

Ts. Dr Ummirul Mukminin berkata suntikan vaksin boleh diambil di 600 pusat pemberian vaksin yang akan dibuka di seluruh negara di bawah seliaan pihak Kementerian Kesihatan (KKM), hospital, dan universiti.

Selain Pfizer-BioNTECH, setakat ini terdapat beberapa jenis vaksin COVID-19 yang telah dikenal pasti oleh KKM menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu vaksin keluaran Astra Zeneca-Oxford, Sinovac Biotech, dan Gamaleya Research Institute.

Dalam pada itu beliau berkata adalah amat penting untuk negara mencapai imuniti kelompok kerana ia bukan hanya melindungi diri mereka yang divaksin, tetapi juga orang di sekitar mereka.

“Imuniti kelompok bermaksud jangkitan bawaan virus sebenar tidak akan dapat menjangkiti suatu kelompok masyarakat memandangkan sebahagian besar anggota masyarakat itu mempunyai kekuatan (memori pertahanan) untuk melawan virus sebenar.

“Hal ini adalah penting bagi melindungi golongan yang berisiko (golongan yang mudah dijangkiti penyakit) seperti kanak-kanak, orang tua, dan penghidap penyakit kronik (barah atau HIV),” katanya.

Ia juga bertepatan dengan aspirasi Pelan Imunisasi Kebangsaan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) iaitu Lindung Diri, Lindung Semua yang mana proses vaksinasi di Malaysia bermatlamat  memberi manfaat kepada semua rakyat.

Sementara itu, Dr Ummirul Mukminin ketika menjadi panelis dalam siaran Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV berkata Institut Genom Malaysia (MGI) sedang membangunkan strip biosensor menggunakan teknologi Crispr untuk mengesan COVID-19 .

“Ini adalah antara inisiatif agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memerangi pandemik COVID-19, ia adalah sejenis kit, menggunakan strip (jalur kertas) yang mana calitan atau cecair sampel diletakkan di atas strip dan keputusan akan diperolehi dalam masa yang singkat,” katanya.

Beliau berkata MGI juga berperanan sebagai tempat penjujukan genom virus COVID-19 bagi mendapatkan maklumat genetik dan mutasi terkini virus berkenaan di Malaysia.

Terkini katanya terdapat lebih 30 genom virus itu yang telah dimuat naik ke pangkalan data genom virus COVID-19, iaitu GISAID.

“Kami turut membantu pihak MOSTI dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penghasilan dan pengambilan vaksin COVID-19,” katanya.

Kerajaan sentiasa memastikan hanya vaksin terbaik yang selamat, berkualiti dan efektif sahaja yang akan diberikan kepada rakyat dan tiada kompromi bagi tahap keselamatan dan keberkesanan vaksin yang diguna pakai.

Sementara itu katanya kajian pada masa ini menunjukkan keberkesanan vaksin-vaksin COVID-19 yang dihasilkan ialah 70 hingga 95 peratus termasuk terhadap varian baharu hasil mutasi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas