Biz

Utusan Melayu bakal dinyah senarai dari Bursa Malaysia sehari sebelum Hari Kemerdekaan

Utusan logo
||
- Diterbit 29 Ogos 2019 2:41 PM MYT

KUALA LUMPUR – Utusan Melayu (M) Bhd. yang diletakkan di bawah status Nota Amalan 17 (PN17) bakal dinyah senaraian dari pasaran utama Bursa Malaysia esok (30 Ogos) susulan pengumuman syarikat tersebut hari ini bahawa ia tidak membuat rayuan terhadap keputusan regulator tersebut.

“Lembaga Pengarah Utusan mengumumkan bahawa syarikat itu tidak membuat rayuan terhadap keputusan Bursa Securities untuk penyahsenaraian pada 30 Ogos 2019,” lapor The Edge yang memetik kenyataan kumpulan media itu kepada Bursa Saham hari ini.

Utusan Melayu yang merupakan syarikat akhbar bahasa Melayu paling tua di negara ini disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1994.

Susulan penyah senaraian tersebut, penerbit Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad itu akan terus wujud, namun sebagai entiti yang tidak disenaraikan.

Sebelum ini, Utusan Melayu diletakkan pada status PN17 selepas gagal membuat pembayaran prinsipal dan keuntungan kepada Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Maybank Islamic Bhd. berjumlah RM1.18 juta.

Urus niaga Utusan Melayu digantung pada 28 Ogos lalu selepas kumpulan tersebut gagal mengemukakan pelan regularisasi kepada pihak berkuasa terbabit pada tarikh akhir 19 Ogos lepas.

Harga terakhir syarikat itu dicatatkan pada 5.5 sen sesaham, memberikan modal pasaran berjumlah RM6 juta.

Syarikat itu yang mengalami kerugian sejak beberapa tahun lalu sebelum ini dilaporkan agak sukar untuk mendapatkan pelabur berpotensi untuk memulihkannya ekoran tanggungan yang besar dengan hutang sejumlah RM139.19 juta setakat Jun lalu.

Jumaat lepas, kumpulan itu membuat keputusan menaikkan harga jualan naskhah Utusan Malaysia dari RM1.50 kepada RM2 manakala Kosmo! kepada RM1.50 setelah sebelum ini mempertahankan harga RM1 bagi mengelakkan jumlah edaran merudum.

Kumpulan Utusan ketika ini masih bergelut dengan masalah tunggakan bayaran gaji para pekerjanya dan hampir 800 bekas kakitangan yang memilih Skim Pemisahan Sukarela (VSS) pada November tahun lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas