Utusan Melayu henti operasi, 800 staf ditamatkan perkhidmatan 31 Oktober ini

Utusan logo

PUTRAJAYA – Syarikat akhbar Melayu yang berusia lebih 80 tahun, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad hari ini menghentikan operasi perniagaan serta menamatkan perkhidmatan kira-kira 800 kakitangannya bermula hujung bulan ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu memorandum pekeliling bertajuk Pemberhentian Operasi Perniagaan Syarikat yang dikeluarkan hari ini dan ditandatangani Pengerusi Eksekutif, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir.

Menerusi memorandum tersebut, beliau turut menyatakan, Lembaga Pengarah Utusan pada 7 Oktober lalu telah meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn. Bhd. sebagai Pelikuidasi Interim (Interim Liquidator).

Memorandum pekeliling yang dikeluarkan kepada kakitangan Utusan Malaysia hari ini.

“Langkah ini terpaksa diambil oleh kerana Lembaga Pengarah berpendapat bahawa Syarikat tidak lagi ‘solven’ untuk meneruskan perniagaan.

“Oleh yang demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuatkuasa Rabu, 9 Oktober 2019,” katanya.

Abd. Aziz memberitahu, sehubungan itu, tarikh akhir bagi warga kerja Utusan dan Kosmo ditetapkan pada hari ini manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019.

Jelas beliau, ekoran penutupan operasi, pekerja diminta untuk mengemas tempat kerja, mengambil barang peribadi dan mengembalikan semua peralatan serta harta syarikat termasuk kad akses dan kunci pejabat kepada Ketua Jabatan selewat-lewatnya pukul 1 tengahari ini.

“Sekiranya terdapat keperluan tambahan, kebenaran masuk akan diberikan kepada kakitangan pada keesokan hari bermula pukul 9 pagi sehingga pukul 6 petang.

“Selepas daripada waktu tersebut, akses ke pejabat akan dihadkan kepada kakitangan tertentu sahaja,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abd. Aziz menyatakan, kelayakan untuk faedah penamatan kerja adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan akan dikendalikan pihak pelikuidasi.

Memorandum pekeliling yang dikeluarkan kepada kakitangan Utusan Malaysia hari ini.

Ujarnya, taklimat daripada pihak pelikuidasi akan diadakan pada pukul 3 petang ini di Dewan Besar Utusan dan sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan ketika sesi taklimat berkenaan.

Tambahnya, surat makluman kepada semua kakitangan akan diedarkan bermula hari ini.

Terdahulu, memorandum berkenaan menjelaskan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat Utusan Melayu melalui tempoh perniagaan yang paling kritikal sejak mula beroperasi 80 tahun lalu malah keadaan syarikat semakin merosot selepas Mei 2018.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan dengan harapan untuk meletakkan syarikat kepada kedudukan yang lebih kukuh dan terjamin antaranya menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang menyaksikan lebih 700 kakitangan melepaskan jawatan.

Penawaran VSS merupakan pemberhentian kerja berskala besar yang terpaksa dilakukan bagi kelangsungan syarikat.

Selain itu, syarikat juga telah berusaha dengan menjual aset-asetnya dan kumpulan untuk menampung modal serta mendapatkan aliran tunai yang mencukupi, namun edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo yang semakin menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan gagal dicapai sehingga menyebabkan aliran tunainya semakin tenat.

Keadaan itu bukan sahaja mengakibatkan gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa, malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak selain berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang – pemiutang.

Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan berkata, pegawainya telah bercakap dengan Abd. Aziz berhubung isu berkenaan menerusi satu panggilan telefon.

“Perkara-perkara yang dibincangkan adalah sama seperti mana yang ternyata dalam Memorandum Pekeliling Utusan Melayu bertarikh 9 Oktober.

“Pihak kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya dengan pelikuidasi interim berdasarkan undang-undang semasa,” kata kenyataan itu.

Tambahnya lagi, maklumat dan sebarang perkembangan lain berhubung isu tersebut akan dikongsikan dari semasa ke semasa. – WILAYAHKU

Kongsikan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Penafian: Semua Komen di bawah tidak mencerminkan pendirian atau pandangan Wilayahku, ia merupakan pandangan peribadi penulis.