WK2

Usaha produk sambal garing

SAIYIDATUL Syahirah menunjukkan produk sambal garing ikan bilis yang dihasilkannya dari ikan bilis hasil keluaran Kampung Bebuloh Laut.
- Diterbit 19 Disember 2019 5:59 AM MYT

MENDAPATI permintaan produk lain berasaskan ikan bilis dan ikan kekek di pusat pemprosesan ikan bilis yang diusahakan ayah mertuanya, Saiyidatul Syahirah Jasniey, 28, nekad mengeluarkan produk sambal garing.

SAIYIDATUL Syahirah

Menurutnya, perusahaan yang diusahakan bersama suami sejak dua tahun lalu, hanya bermodalkan wang tunai RM50.

Katanya, perkara yang lebih menggembirakan adalah produk sambal garing ikan kekek yang diusahakan mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pernah menyertai Pertandingan Pitchborneo 2017 di Kota Kinabalu, Sabah.

“Sambal garing yang dikenali sebagai Humey ini berjaya memenangi Geran Idea Perniagaan dan dianugerahkan wang tunai RM20,000. Hadiah kemenangan itu dijadikan modal untuk membeli peralatan baru bagi mengembangkan perniagaan.

“Kini, saya mampu mengeluarkan 2,000 hingga 3,000 botol sambal Humey sebulan, berdasarkan permintaan. Selain pasaran tempatan, sambal itu turut dipasarkan ke Sabah, Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kelantan dan Singapura,” katanya.

Menurut Saiyidatul Syahirah, rasa sambal yang dihasilkannya adalah unik kerana rasa manis adalah asli daripada ikan dan bukan perasa.

Malah, ekoran itu, ujarnya, produk sambal garing yang dihasilkan mula digemari penduduk setempat dan pengunjung dari Semenanjung.

“Untuk perancangan masa hadapan, saya ingin meluaskan lagi rangkaian ejen pasaran di seluruh Malaysia dan menjadikan produk tempatan Labuan setanding produk luar sekali gus menyokong hasrat kerajaan untuk menjadikan Labuan sebagai pulau pelancongan yang bukan sahaja cantik dan unik tetapi mempunyai produk ikon.

“Saya juga berharap pada tahun hadapan, produk Humey mampu menembusi negara-negara jiran,” jelasnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas