Berita

Urus operasi ladang pertanian guna teknologi digital

- Diterbit 1 Disember 2020 2:56 AM MYT

PERTANIAN yang disuntik elemen teknologi digital terutama Internet of Things (IoT) mampu memberi impak luar biasa pada sektor tersebut.

Perkara ini sudah dibuktikan oleh Pewaris Bumi Hijau yang menggunakan teknologi berkenaan dalam mengusahakan ladang cili secara fertigasi di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, Selangor.

Pengarah Urusan, Pewaris Bumi Hijau, Norhashim Kamisan, memberitahu Bernama sememangnya bukan mudah untuk berubah daripada kaedah tradisional kepada penggunaan digital dan aplikasi di internet di kawasan luar bandar

“Namun kini, teknoloji pertanian pintar ini mampu direalisaikan di mana-mana pun selagi mana terdapatnya capaian internet di telefon pintar,” katanya.

Beliau menambah, ladang cilinya yang meliputi kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar menempatkan 6,000 beg poli dengan proses penanamannya dikawal dengan hanya menggunakan satu kad sim yang dimasukkan ke dalam panel hab sensor dan dipantau melalui telefon pintar.

DIKAWAL APLIKASI IoT

Projek menggunakan teknologi digital ini dimulakan sekitar awal tahun 2018 dan pada peringkat permulaan, ia meliputi sistem membaja sebelum dipertingkatkan kepada operasi meracun.

” Kedua-dua kaedah ini menggunakan sistem penyemburan secara automatik dengan menggunakan ‘railing’ sepanjang 137.16 meter .

“Apabila kaedah ini mampu memberi semburan secara menyeluruh iaitu di bahagian atas dan bawah pokok iaitu daun dan di tanah (akar), barulah kami beralih untuk mengabungkan kedua-dua kaedah tersebut. Dan semua ini dikawal melalui satu aplikasi berdasarkan Internet of Things (IoT),” katanya kepada Bernama, sambil menambah, aplikasi pertanian tersebut, adalah hasil kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menurut Norhashim, menerusi penggunaan IoT, golongan agroprenuer muda boleh menggunakan konsep pertanian pintar dalam tanaman fertigasi melibatkan aspek penjagaan, siraman air, membaja dan meracun.

Ringkasnya, pertanian pintar atau Precision Agriculture (PA) adalah kaedah mengoptimum input air, baja, racun makhluk perosak dan peralatan bagi meningkatkan hasil, kualiti dan produktiviti tanaman.

Konsep pengurusan pertanian ini merangkumi pemerhatian, ukuran dan gerak balas kepada keanjalan dalam tanaman dengan menggunakan satelit, dron atau pengurusan pertanian khusus di tapak atau kawasan pertanian atau site-specific crop management (SSCM).

“Dengan menggunakan teknologi maklumat seperti satelit, dron, kecerdasan buatan (AI) dan peralatan atau perisian ramalan cuaca, kita dapat memastikan jenis tanaman, tanih diperlukan dan kesesuaian tanah, untuk mengelak pembaziran dan menjimatkan masa.

“Walaupun sistem ini masih dalam peringkat percubaan dan memasuki tahun ketiga, kita boleh berbangga memandangkan sistem aplikasi ini mengurangkan kos masa, tenaga kerja bahkan memberi hasil tanaman yang lebih baik,” Norhashim yang berpengalaman lebih 14 tahun dalam bidang pertanian.

APLIKASI MUDAHKAN KAWAL LADANG

Memasuki tahun ketiga penggunaan Smart Farming IoT, aplikasi yang boleh dimuat turun dalam telefon pintar tidak kira android atau iOS ini mampu memberi ketepatan data bagi pemantauan, pengawalan dan penerimaan notifikasi sehingga 100 peratus.

Norhashim menjelaskan, ini kerana sensor yang digunakan adalah berdasarkan piawaian industri yang lebih tepat dan berkualiti tinggi.

Menerusi aplikasi tersebut, antara data yang direkodkan adalah bacaan isipadu baja atau racun dalam tangki, status dan kawalan pam irigasi, bacaan suhu dan kelembapan udara, garis masa pembesaran tanaman, jenis tanaman, tarikh tanaman dan menuai secara automatik serta rekod hasil tanaman.

Lebih memudahkan, semua data lapangan yang dikutip menerusi 15 sensor yang dipasang di ladang tersebut, akan dikumpul dan disimpan di dalam simpanan Cloud.

“Semua data daripada 15 sensor itu akan dihantar ke Cloud setiap 15 minit. Jika perlukan sesuatu maklumat seperti baja, racun, suhu atau tahap kelembapan, petani boleh cetak data mengikut senarai tersebut.

“Malah petani juga boleh muat naik data mengikut sensor. Dan sekarang, kita sedangkan bangunkan satu sistem agar semua data tersebut boleh diakses melalui email memandangkan muat turun melalui Cloud agak mengambil masa terutama apabila terlalu banyak data,” katanya.

Bukan itu sahaja, sistem serta aplikasi berkenaan juga membolehkan petani mengaktifkan panel kawalan dilakukan menerusi suara.

PLATFORM PERBANYAKKAN LADANG

Dengan kawalan teknologi di hujung jari seperti ini, tidak hairanlah penggunaan IoT dalam pertanian dilihat platform terpantas dalam memperbanyakan jumlah ladang atau kebun di negara ini.

Ia juga mampu menjadi punca pendapatan atau kemahiran baharu kepada golongan yang terjejas akibat kehilangan punca pendapatan.

Norhashim menambah, dengan permintaan tinggi untuk produk pertanian terutama cili, halia, timun serta rock melon, intervensi sains dan teknologi sangat diperlukan bagi mempercepatkan semua proses seperti penamaman, pembajaan, meracun, mengutip hasil serta pemasaran.

“Dengan IoT ini, kita dapat mengurangkan kos tenaga kerja, kecuaian dan paling utama, dapat mengawal ladang dari sebarang perubahan cuaca tanpa mengira di mana kita berada selagi mempunyai wifi atau data internet.

“Contohnya, kita akan mendapat notifikasi dari SMS, Telegram atau email sekiranya cuaca menjadi terlalu panas dan tanaman tidak cukup air. Dengan tetapan yang tertentu, ia akan secara automatik melakukan siraman sehingga tanah mendapat kelembapan yang sesuai dan kita, hanya memantau menerusi aplikasi tersebut,” jelasnya.

Beliau menambah, sejak menggunakan aplikasi tersebut, kos operasi bagi membaja dan meracun dapat dijimatkan. Kini kos membaja mencapai RM430 untuk tujuh hari berbanding harga yang sama bagi tiga hari sebelum ini.

Justeru, Norhashim menganggarkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, teknologi pertanian pintar ini akan dapat digunakan secara meluas dengan kadar kos efisien terutama kepada pekebun kecil atau mereka yang baru berjinak dalam bidang ini.

“Untuk kos, ia bergantung kepada keluasan tapak ladang namun kita anggar kos boleh mencapai RM10,000 hingga 15,000 bagi ladang berkeluasan 0.4 hektar,” jelasnya yang turut memberitahu setakat ini, terdapat 15 ladang di Kedah, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan yang menggunapakai sistem pertanian pintar ini.

Tidak terhad kepada penamanan secara fertigasi, teknologi pertanian pintar ini juga boleh diamalkan untuk penanaman hidroponik yang lebih kepada tanaman sayuran hijau memandangkan ramai yang gemar bertani secara kaedah tersebut.

BELANJAWAN 2021 PACU TEKNOLOGI AI DALAM PERTANIAN

Tanpa peruntukan sewajarnya, tidak kira daripada kerajaan atau agensi berkaitan, Norhashim mengakui ‘perjalanan’ pertanian pintar ini mungkin perlahan walaupun negara sedang menuju Revolusi Industri 4.0 yang mana, rata-ratanya berpaksikan kepada teknologi dan pendigitalan.

Justeru, pada 6 November lepas, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan sebanyak tujuh inisiatif utama sektor pertanian bakal diperkenalkan untuk memperkasakan sektor itu yang menyumbang 7.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2019.

Antaranya, adalah perlaksanaan program Ladang e-Satelit dengan peruntukan RM10 juta secara geran padanan sehingga RM30 ribu kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), bagi tujuan pembelian peralatan pertanian berasaskan IoT termasuk dron dan aplikasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI)

“Kita gembira dengan bajet yang diumumkan dan berharap melalui peruntukan tersebut, kepakaran teknologi AI dalam pengawalan serangga dapat digunakan menjelang 2021. Kita mahu bangunkan teknologi menggunakan kamera untuk mengambil gambar bagi menganalisis serangga yang ada di ladang pertanian.

“Dengan data yang dikutip ini, ia akan membantu kita untuk mencipta satu mekanisme kawalan biologi ke atas tanaman, yang mana lebih selamat, efisien dan murah,” jelasnya.

Berdasarkan peruntukan yang diumumkan juga, Norhashim percaya sektor pertanian dapat mewujudkan kelompok petani yang celik teknologi.

“Bukan lagi petani yang sekadar bercucuk tanam dan hanya berpuas hati dengan saiz ladang yang mereka ada. Kita mahu, petani gunakan sistem pertanian pintar ini untuk memperbanyakkan lagi jumlah kebun dan ladang mereka,” katanya.

Dalam masa yang sama, pihaknya mahu golongan yang mendapat kelebihan daripada bajet 2021 itu menjadikan pertanian pintar ini menjadi satu keperluan memandangkan permintaan bahan makanan meningkat setiap hari tetapi saiz ladang tidak membesar.

Beliau menjelaskan, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia 2019, didapati pengeluaran produk tanaman seperti halia hanya 16.2 peratus manakala cili sekadar 30.8 peratus.

“Sebab itulah kita tumpukan kepada dua jenis tanaman ini dan dalam masa yang sama berharap lebih ramai petani menggunakan kaedah pertanian pintar bagi memperbanyakkan ladang dan seterusnya hasil tanaman bagi menampung keperluan negara,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas