Upacara perkahwinan bukan Islam dibenar di kawasan PKP, PKPB, PKPP – JPN

Upacara perkahwinan bukan Islam dibenar di kawasan PKP, PKPB, PKPP – JPN

UPACARA perkahwinan bukan Islam kini dibenarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), rumah ibadat dan persatuan agama bukan Islam bagi kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), berkuat kuasa hari ini.

JPN dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat kerajaan bagi membolehkan upacara perkahwinan bukan Islam yang tertangguh semasa tempoh PKP 2.0 dapat dilaksanakan.

“Keputusan ini dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menteri Kanan Pertahanan Bilangan 9 yang dipengerusikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Bagaimanapun, upacara perkahwinan di kawasan PKP Diperketatkan (PKPD) adalah masih tidak dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

JPN memaklumkan pihaknya telah mengemas kini dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) upacara perkahwinan bukan Islam di JPN, rumah ibadat dan persatuan agama bukan Islam.

Antara SOP yang ditambah baik ialah berkaitan kapasiti kehadiran semasa upacara pendaftaran perkahwinan iaitu maksimum 10 orang termasuk pendaftar bagi pendaftaran perkahwinan sivil untuk upacara di JPN dalam kawasan PKP, PKPB dan PKPP.

Bagi kapasiti kehadiran untuk upacara perkahwinan di rumah ibadat dan persatuan agama bukan Islam oleh Penolong Pendaftaran Perkahwinan (PPP), maksimum 10 orang bagi kawasan PKP, maksimum 20 orang bagi PKPB dan maksimum 30 orang bagi PKPP.

“Bagaimanapun, SOP ini adalah tertakluk kepada keluasan ruang upacara perkahwinan di rumah ibadat dan persatuan agama bukan Islam,” menurut kenyataan itu.

JPN turut memaklumkan tiada majlis sosial dibenarkan semasa upacara pendaftaran berlangsung manakala majlis sosial di rumah ibadat dan persatuan agama bukan Islam adalah tertakluk kepada arahan Majlis Keselamatan Negara.

Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan SOP kebenaran upacara perkahwinan bukan Islam di JPN, rumah ibadat dan persatuan agama bukan Islam boleh dilayari menerusi laman sesawang MKN (www.mkn.gov.my) atau JPN (www.jpn.gov.my). – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS