Berita

Unjuran AOR tahun ini 27.8 peratus – MOTAC

- Diterbit 2 Februari 2021 2:32 PM MYT

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini menyatakan unjuran Purata Kadar Penginapan (AOR) pada tahun ini adalah 27.8 peratus manakala pada tahun lepas pada 25.4 peratus.

Unjuran berkenaan bagi menjawab kenyataan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng yang menyebut  unjuran yang dikeluarkan oleh kementerian iaitu AOR hotel di Malaysia sebanyak 61.1 peratus pada tahun lepas dan 58.4 peratus tahun ini didakwa tidak mencerminkan keadaan sebenar industri perhotelan dalam satu artikel yang diterbitkan sebuah portal berita berbahasa Inggeris pada 26 Jan lepas.

“Unjuran yang diutarakan itu adalah unjuran sebelum pandemik COVID-19 melanda negara dan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat, PKP Diperketat dan pelaksanaan PKP 2.0.

Unjuran bagi tahun 2020 ialah 25.4 peratus manakala bagi tahun ini adalah 27.8 peratus. Namun demikian unuran ini tidak mengambil kira pelaksanaan PKP 2.0,” menurut kenyataan kementerian itu hari ini.

Bagi memantau prestasi AOR  hotel semasa pandemik COVID-19, MOTAC telah bekerjasama dengan persatuan-persatuan pemain industri khususnya Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

“Kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil maklum cabaran yang dihadapi oleh penggiat industri pelancongan dan kebudayaan khususnya pengusaha hotel berikutan pandemik COVID-19.

Dalam usaha membantu penggiat industri pelancongan, MOTAC sentiasa prihatin terhadap cabaran yang dihadapi melalui kerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan kementerian lain yang berkaitan bagi menangani bersama cabaran yang dihadapi penggiat industri,” katanya.

MOTAC turut menubuhkan “Tourism Recovery Action Council” atau TRAC serta mengadakan beberapa sesi libat urus dengan penggiat industri bagi mendapatkan maklum balas dan mengenal pasti kaedah terbaik untuk membantu meringankan beban pihak industri.

Selain itu, MOTAC melalui Tourism Malaysia juga sentiasa dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak termasuk industri perhotelan bagi menyemarakkan pelancongan domestik negara.

Kementerian juga akan melaksanakan kerjasama di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan Domestik bagi tahun 2021 untuk terus membantu kelangsungan hidup industri pelancongan domestik negara, antaranya  bersama entiti penginapan, pengangkutan, pakej pelancongan (termasuk untuk barisan hadapan dan penjawat awam), diskaun membeli belah dan ekopelancongan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas