Berita

UN-Habitat iktiraf peranan Kuala Lumpur jadikan bandar raya rendah karbon

MAIMUNAH (tengah) melawat projek Perumahan Bandar yang merupakan salah satu inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) untuk menyediakan perumahan untuk kumpulan sasar.
- Diterbit 12 Ogos 2022 4:16 AM MYT

PROGRAM Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) mengiktiraf usaha dan peranan yang telah diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam melaksanakan dasar bandar raya rendah karbon sehingga menjadi contoh di peringkat antarabangsa.

Pengarah Eksekutif UNHabitat, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif yang dalam rangka lawatan rasminya ke Malaysia untuk melihat perkembangan terkini pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan (SDGs) 2030 dan Agenda Perbandaran Baharu (NUA).

Beliau yang melakukan kunjung hormat ke atas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah menyifatkan DBKL terkedepan dan aktif dalam pelaksanaan Agenda SDGs serta usaha-usaha yang diambil ke arah kemampanan dan rendah karbon telah mendapat pengiktirafan dan dikenali di peringkat antarabangsa.

Maimunah turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur di atas komitmen yang ditunjukkan dalam pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan (SDGs) 2030.

Dalam sesi lawatan rasmi ini, Mahadi telah meluangkan masa dan membawa Maimunah melawat di sekitar Kuala Lumpur menaiki EV Bus (Bas GoKL) untuk melihat usaha-usaha yang telah dijalankan oleh DBKL dalam pelaksanaan projek-projek legasi World Urban Forum ke-9 iaitu laluan basikal (Blue Bicycle Lane) dan Projek Perumahan Bandar serta pelaksanaan projek-projek SDGs.

Hadir sama dalam lawatan ini, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kamaruzaman Umar.

Lokasi pertama yang dilawati adalah di Linear Park Sungai Bunus di Seksyen 1 Wangsa Maju yang merupakan projek perintis bagi pelaksanaan bandar rendah karbon dengan matlamat menjadikan Wangsa Maju sebagai Neutral Carbon Growth Center menjelang tahun 2050.

Seiring dengan pelaksanaan itu, Maimunah dibawa ke kompleks beli-belah AEON Wangsa Maju yang telah melaksanakan inisiatif pemasangan panel solar PV sebagai usaha bagi menyokong pelaksanaan bandar rendah karbon.

Selain inisiatif oleh AEON Wangsa Maju, Maimunah juga dibawa ke kios 1 Community 1 Recycling (1C1R) di flat Seksyen 2, Wangsa Maju yang merupakan usaha DBKL ke arah mencapai matlamat bandar rendah karbon yang ditetapkan.

Beliau juga telah dibawa ke Projek Kebun Kejiranan Bandar di Perumahan Awam Sri Perlis 2 yang merupakan projek oleh komuniti tempatan dengan usaha sama Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21KL).

Seterusnya Maimunah juga telah melawat Perumahan Bandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang merupakan salah satu projek legasi World Urban Forum ke-9 Kuala Lumpur.

Lawatan rasmi beliau berakhir di SDGs Centre Kuala Lumpur yang merupakan pusat rujukan utama yang memaparkan usaha-usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan masyarakat tempatan ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs). -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas