Berita

Ujian RBPT bukan peraturan baharu untuk menyusahkan penternak: Exco Terengganu

- Diterbit 6 Februari 2021 3:21 PM MYT

PENGAMBILAN sampel darah ternakan untuk ujian RBPT (Rose Bengal Plate Test) bagi proses pemindahan haiwan ternakan antara daerah di Terengganu bukanlah peraturan yang baru diwujudkan untuk menyusahkan penternak.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata peraturan itu sudah lama wujud cuma ia hanya dikuatkuasakan untuk pemindahan haiwan ternakan antara daerah sahaja ketika ini.

Beliau berkata pihaknya telah menerima banyak rungutan dan bantahan daripada penternak serta pemborong haiwan ternakan berkaitan cadangan untuk menguatkuasakan pengambilan sampel darah untuk ujian ini.

“Kerajaan negeri dipersalahkan kerana kononnya telah mewujudkan peraturan baharu yang menyusahkan penternak sedangkan sebenarnya peraturan ini telah sedia ada serta sudah lama wujud.

“Sebelum sesuatu peraturan dikuatkuasakan, ruang perbincangan telah dan akan terus dibuka seluasnya untuk mewujudkan situasi menang-menang. Peranan kerajaan ialah untuk menjaga kepentingan semua pihak.

“Selain daripada untuk menjamin daging ternakan yang disembelih selamat dimakan oleh manusia, ternakan yang akan dipindahkan juga perlu dipastikan sihat agar tidak berlaku pembawaan wabak seperti penyakit kuku dan mulut (FMD), ‘brucellosis’ dan hawar berdarah ke kawasan lain ekoran daripada pemindahan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata kebanyakan negeri lain sudah lama menguatkuasakan ujian RBPT bagi pemindahan ternakan antara daerah. Malah ujian sampel darah RBPT itu adalah percuma, boleh dibuat di lapangan dengan keputusan serta-merta.

“Brucellosis adalah penyakit zoonosis iaitu penyakit haiwan yang boleh menjangkiti manusia. Oleh itu, adalah sangat mustahak untuk memastikan bahawa haiwan ternakan yang dipelihara dan disembelih bebas daripada penyakit itu melalui pengambilan sampel darah untuk ujian RBPT.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedang mengkaji daripada pelbagai aspek untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) ujian RBPT ini untuk pemindahan antara daerah dengan mengambil kira semua kepentingan sama ada penternak dan rakyat sebagai pengguna. Setakat ini ia belum dikuatkuasakan lagi,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas