Berita

Tuntutan untuk barisan hadapan, tunai untuk BSH, pemandu teksi, pemandu pelancong dipenuhi – Tengku Zafrul

- Diterbit 27 Ogos 2020 7:42 AM MYT

KERAJAAN telah melaksanakan tanggungjawabnya dalam memenuhi tuntutan daripada petugas barisan hadapan COVID-19, serta bayaran tunai untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), pemandu teksi, pemandu pelancong dan pemandu bas pelancong dengan telah menyalurkan kira-kira RM3 bilion kepada mereka setakat 14 Ogos di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam laporan LAKSANA ke-18 berkata sebanyak RM222.4 juta telah disalurkan kepada petugas barisan hadapan perubatan bagi pengurusan dan pembendungan pandemik COVID-19, serta pihak penguatkuasaan yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Juga di bawah “Objektif 1: Melindungi Rakyat”, sebanyak RM2.7 bilion telah dikreditkan ke dalam akaun 4.18 juta penerima BSH.

Bagi mereka yang layak tetapi masih belum menerima bayaran, wang itu akan dikreditkan ke dalam akaun bank mereka atau mereka boleh menuntut bantuan wang tunai itu di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sehingga 31 Dis, 2020.

Tengku Zafrul berkata rayuan bagi BSH 2020 dibuka sehingga 6 Sept dan pemohon yang tidak berjaya boleh mengemukakan rayuan di cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Khidmat Hasil (PKH), Pusat Transformasi Bandar (UTC) atau secara dalam talian.

Tiada bayaran dikenakan semasa mengemukakan permohonan atau rayuan.

Bagi pemandu teksi, katanya kerajaan telah menyalurkan bantuan tunai sekali sahaja bernilai RM18.05 juta kepada 30,089 pemandu teksi, meningkat daripada RM18.05 juta, membabitkan 29,968 pemandu teksi bagi penerima fasa pertama.

Bagi pemandu pelancong, Tengku Zafrul berkata sebanyak 7,610 daripada mereka telah menerima bantuan tunai sekali sahaja berjumlah RM4.57 juta setakat 14 Ogos tahun ini, dan RM1.7 juta kepada 2,870 pemandu bas pelancong.

Sementara itu, di bawah “Objektif 2: Menyokong Peniagaan’, 67,413 permohonan telah diterima untuk Program Bantuan COVID-19 (e-CAP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan 12,706 permohonan bernilai RM83.23 juta telah diluluskan.

Juga, subsidi upah bernilai RM9 bilion telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.6 juta pekerja dan daripada jumlah itu, sebanyak RM8.75 bilion telah disalurkan untuk Program Subsidi Upah.

Bagi Skim Kredit Mikro BSN, bayaran telah dibuat kepada 9,899 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), membabitkan sebanyak RM340.12 juta sehingga 14 Ogos.

Bayaran juga telah dibuat kepada 24,957 PKS bagi program TEKUN, melibatkan sebanyak RM187.92 juta untuk tempoh sama.

Bagi ‘Objektif 3: Memperkukuh Ekonomi’, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM1 bilion diperuntukkan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan unit rawatan rapi (ICU), peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan COVID-19.

Setakat 14 Ogos, sebanyak RM512.5 juta telah disalurkan dalam usaha untuk meningkatkan lagi keupayaan Kementerian Kesihatan bagi menangani pandemik COVID-19, katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas