Tun Mahathir, Menteri Kabinet adakan pemukiman tertutup di Cyberjaya
ANGGOTA polis mengawal di hadapan pintu masuk Cyberview Resort and Spa, Cyberjaya hari ini bagi menanti kehadiran Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet.

Tun Mahathir, Menteri Kabinet adakan pemukiman tertutup di Cyberjaya

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri-menteri Kabinet mengadakan pemukiman tertutup di sebuah Resort di sini hari ini.

Menteri-menteri Kabinet dilihat tiba di lokasi pemukiman tersebut seawal pukul 8 pagi.

Perdana Menteri dilihat tiba dengan menaiki kenderaan rasmi pada pukul 8.45 pagi.

Usaha kru Wilayahku untuk merakamkan suasana di kawasan pemukiman tersebut tidak berjaya apabila ia dikawal ketat pasukan keselamatan.

Wartawan dan jurugambar Wilayahku juga diminta beredar dari kawasan resort tersebut.

Difahamkan pemukiman tersebut diadakan pertama kali selepas Pakatan Harapan (PH) mengalami lima kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk di Parlimen Kimanis, Sabah baru-baru ini apabila sekutunya, Warisan gagal merampas kerusi tersebut daripada Barisan Nasional (BN).

Pemukiman tersebut diadakan selepas berlaku kekosongan jawatan Menteri Pendidikan yang kini dipangku Tun Mahathir selepas penyandangnya, Dr. Maszlee Malik meletakkan jawatan pada 2 Januari lalu.

Tindakan itu dilakukan atas nasihat Tun Mahathir.

Ekoran perkembangan tersebut, banyak pihak mahu pentadbiran kerajaan mengangap ia sebagai satu peringatan agar pantas melakukan proses pembaikan termasuk melaksanakan janji-janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

Difahamkan, pemukiman tersebut dikatakan membincangkan usaha yang perlu dilakukan kerajaan PH dalam memastikan maklumat semua pencapaian yang dilakukan sepanjang tempoh hampir dua tahun lalu dapat sampai kepada rakyat dengan berkesan.

Baru-baru ini Tun Mahathir melahirkan keyakinannya PH tidak akan menjadi kerajaan sepenggal seperti yang dicanangkan pihak-pihak tertentu.

PH tidak akan menjadi kerajaan sepenggal sekiranya semua individu yang berada dalam gabungan itu mampu menonjolkan kelebihan dan kebaikan yang telah dilaksanakan mereka kepada rakyat, tegas Perdana Menteri.

Tun Mahathir berkata, masalah utama yang dihadapai kerajaan PH ketika ini ialah membersihkan pelbagai ‘kekotoran’ termasuk hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Akhirnya kerajaan PH pula tak pandai nak cerita (kejayaan kerajaan) apa yang mereka buat. Kita kalah dalam tiga hingga empat PRK tetapi itu tidak bermakna kita akan kalah dalam PRU besar (PRU15),” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES