Berita

Tun Mahathir hantar surat letak jawatan Perdana Menteri

DR. MAHATHIR menyatakan sesuatu kepada Anwar pada sidang akhbar yang diadakan selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Putrajaya, Jumaat lalu.
- Diterbit 24 Februari 2020 6:47 AM MYT

PUTRAJAYA – Kedudukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terus menjadi tanda tanya apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil keputusan mengejutkan meletakkan jawatan Perdana Menteri hari ini.

Kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri menyebut, Dr. Mahathir telah menghantar surat peletakan jawatan Perdana Menteri hari ini.

“Surat tersebut telah dihantar kepada YDP (Yang di-Pertuan) Agong pada pukul 1 tengah hari.

Bagaimanapun kedudukan Dr. Mahathir sama ada peletakan jawatan tersebut diterima yang Di-Pertuan Agong atau sebaliknya belum dipastikan. Wilayahku difahamkan Dr. Mahathir tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat pemimpin Bersatu untuk keluar dari PH.

Ini memandangkan Dr. Mahathir tidak mempunyai masalah dengan pemimpin utama PH termasuk Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Untuk rekod mesyuarat Majlis Presiden PH pada Jumaat lalu turut telah bersetuju untuk menyerahkan kepada Dr. Mahathir bagi menentukan tarikh peralihan kuasa.

Terdahulu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi  Bersatu semalam (23 Februari 2020) untuk keluar daripada PH.

“Semua Ahli Dewan Rakyat dari parti Bersatu juga dengan ini keluar Pakatan Harapan. Semua mereka telah menandatangani Akuan Bersumpah untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia,” kata beliau.

Muhyiddin berkata, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira perkembangan politik semasa dan masa depan negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas