Berita

Tun Datu Mustapha, pejuang terbilang Sabah

ALAT muzik yang menjadi kegeraman Tun Datu Mustapha.
ALAT muzik yang menjadi kegeraman Tun Datu Mustapha.
- Diterbit 16 Mac 2020 3:06 AM MYT

POTRET pemimpin ulung, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun yang merupakan bapa kemerdekaan Sabah tergantung rapi di hadapan pintu masuk Memorial Negarawan itu di Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur.

Di satu sudut memorial itu, pengunjung dipaparkan dengan garis masa dan sejarah lengkap mengenai pejuang ini. Malah anda pasti kagum kerana walaupun tidak mendapat pendidikan tinggi, beliau merupakan bekas pemimpin gerila dan berjaya menumpaskan tentera Jepun yang menjajah Negeri di Bawah Bayu ketika itu.

Turut dipaparkan bagaimana pemimpin tersebut memulakan kerjayanya dari pekerja biasa di Pejabat Daerah Kudat sehingga menjadi Ketua Anak Negeri Gred 1 semasa di bawah pentadbiran British.

Gambar-gambar berkaitan ketika beliau berkhidmat sebagai Gabenor Sabah, Ketua Menteri dan juga Menteri Persekutuan yang menjaga hal ehwal Sabah turut dipamerkan di memorial itu.

Selain itu, terdapat juga gambar-gambar beliau dalam rapat umum bersama dengan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dalam beberapa program politik yang dihadirinya.

Tun Datu Mustapha bukan sahaja disanjung sebagai pemimpin yang baik dalam kalangan rakyat, malah beliau turut berbakat dalam bidang muzik. Terdapat sebuah biola kepunyaannya yang disimpan di dalam rak kaca dan juga sebuah gitar kecil.

Beliau juga digambarkan sebagai seorang yang aktif bersukan dan dipaparkan satu set golf yang lengkap serta kasut miliknya. Malah beberapa koleksi peribadi beliau seperti pemetik api, koleksi pinggan mangkuk turut di simpan di sini.

SEJARAH pengorbanan Tun Datu Mustapha sewaktu memerdekakan Sabah.

Memorial itu turut menyimpan tiga pasang pakaian miliknya iaitu pakaian istiadat untuk acara rasmi kerajaan, pakai tradisional dan juga dua suit serta dua bilah keris miliknya.

Di satu sudut, dipaparkan perjalanan terakhir Tun Datu Mustapha yang memaparkan beberapa keratan akhbar yang melaporkan kematian beliau pada 1995 dan kemudian disemadikan di Putatan, Sabah pada usia 76 tahun.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas