Berita

Tumpahan simen punca jalan rosak

Tumpahan Simen
TUMPAHAN simen merosakkan kembali laluan Jalan Bertingkat Pudu walaupun ia baru diturap semula.
- Diterbit 13 September 2019 10:11 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Tidak serik. Walaupun pelbagai tindakan tegas dikena­kan ke atas pengusaha syarikat kenderaan berat yang membawa muatan simen, pihak terbabit masih melakukan kesalahan yang sama seolah-olah mencabar pihak ber­kuasa.

Ini kerana, tinjauan semula Dewan Banda­raya Kuala Lumpur (DBKL) di lokasi persimpangan Jalan Bertingkat Pudu di sini mendapati, terdapat kesan tumpahan simen yang baharu walaupun lokasi berkenaan baru siap dibaiki dan dibersih­kan pada 4 September lalu.

Keadaan itu sekali gus mengecewakan semua pihak khusus­nya pihak berkuasa tempatan yang sekali lagi terpaksa mengeluarkan kos untuk membaikinya demi kemudahan serta ke­selesaan pengguna jalan raya yang lain.

Justeru, DBKL menyatakan, pihak­nya akan bertindak lebih tegas ke atas ­pe­ngusaha-pengusaha lori berkenaan kerana sikap yang tidak bertanggungjawab itu membahayakan pengguna jalan yang lain terutama penunggang motosikal.

Perkara tersebut turut mendapat maklum ­balas­ daripada pengguna Facebook, Mohd. Fadzelynizam Abdullah yang menyarankan supaya laluan-laluan tertentu diletakkan palang had ketinggian seperti di Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) supaya kenderaan berat tidak dapat melalui­nya.

Bagi Mohd. Sukeri Abdul Samat pula, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seharusnya lebih fokus dan mengekori lori-lori simen yang menggunakan jalan bandar bagi mengelakkan kejadian tumpahan simen berulang.

“JPJ harus lebih fokus mengekori lori-lori simen. Jalan-jalan yang di bandar semakin teruk akibat tumpahan simen yang dibawa secara berlebihan,” katanya.

Sementara itu, se­orang lagi pengguna Facebook yang dikenali sebagai Tuan ACP mengesyorkan tindakan saman di­kenakan atau membuat sitaan sekiranya kejadian sama berulang berikutan pengguna jalan raya sering menjadi mangsa ketamakan pengusaha-pengusaha terbabit.

Menurut Hilmi Satay Tulang Cochrane pula, tinjauan dan tindakan tegas perlu dilakukan secara berterusan.

“Bertahun saya me­lalui jalan berhampiran Universiti SEGI meng­hala Sunway Velocity. Tiada apa-apa tindakan. Kalau simen boleh ber­ubah wajah macam manusia, sudah boleh agak berapa usia simen itu atas jalan raya,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas