Berita

Tujuh inisiatif Wilayah Cakna 5.0 bantu warga kota terjejas PKP

- Diterbit 25 Mei 2021 8:18 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) mewujudkan Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) 5.0 khusus kepada warganya yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Melibatkan tujuh elemen, setiap perincian itu akan membantu memudahkan golongan B40 dan miskin bandar menjana pendapatan harian untuk keluarga mereka.

Turut sama menerima tempias faedah itu adalah pelajar serta individu yang kehilangan pekerjaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, IWC 5.0 kali ini memberi penekanan kepada usaha pemvaksinan warga Wilayah Persekutuan terutama orang tua dan kurang upaya.

“Kita akan mengadakan saringan komuniti bersasar, trak vaksin bergerak MYMedic@Wilayah dan pemvaksinasian gelandangan.

“Selain itu, menerusi Wilayah Cakna ini juga, kelas digital SPM mahir tutor akan diadakan bagi membantu pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya menerusi sidang akhbar secara maya sebentar tadi.

Annuar turut memaklumkan, Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (IWBB) dan Usahawan Anak Muda Kota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diteruskan di samping pemantauan ketat daripada pasukan KL Watch. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas