Berita

Tujuh individu disyaki samun mendatangkan kecederaan ditahan

- Diterbit 21 Januari 2021 8:19 AM MYT

TUJUH individu termasuk dua wanita yang dipercayai terbabit dalam kes samun dan mencederakan mangsa, ditahan dalam serbuan berasingan di Gombak, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata, semua suspek berusia 24 hingga 43 tahun itu ditahan di dua rumah di Batu Caves dan Gombak dalam operasi bermula 12.30 tengah malam hingga 5 pagi.

Menurutnya tangkapan dibuat susulan penemuan seorang lelaki dalam keadaan cedera dengan kesan tetakan di sebuah stesen minyak di Taman Greenwood, Gombak pada Sabtu lepas.

“Siasatan mendapati mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa kenalannya, untuk berjumpa di kawasan berhampiran stesen minyak tersebut.

“Semasa mangsa menghampiri kenalannya di kawasan tersebut, lima lelaki memukulnya dan salah seorang daripada suspek telah melibasnya dengan parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, mangsa cedera di bahagian lutut dan jari manakala motosikal, telefon bimbit dan beg dompet, turut dilarikan suspek.

Arifai berkata dalam serbuan itu pihaknya merampas tiga motosikal, satu telefon bimbit serta sebilah parang dan pemeriksaan mendapati, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, dengan tiga daripada suspek dikehendaki polis melibatkan kes dadah di Selayang dan Jinjang.

Katanya kesemua suspek yang positif dadah jenis Methamphetamine itu ditahan reman lima hari hingga esok, untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, empat lelaki termasuk tiga warga asing ditahan, kerana disyaki terbabit dalam kes pecah masuk kedai serbaneka di Jalan Dataran Selayang, Batu Caves yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM10,000.

Arifai berkata kesemua suspek berusia 23 hingga 26 tahun, ditahan pada Ahad lepas di Jalan Besar Selayang Indah, Batu Caves dan Segambut, dalam operasi bermula 1.30 tengah hari itu.

“Kita merampas 66 karton rokok, 264 kotak rokok pelbagai jenama dan wang tunai RM1,800 yang disyaki hasil jualan rokok yang dicuri, daripada kedai serbaneka itu,” katanya.

Jelasnya, kesemua suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas