Selebriti

Tuah menyanyi lagu Ziana Zain

DYLEA
- Diterbit 9 April 2020 6:47 AM MYT

RAMAI yang tertanya-tanya perihal gadis manis yang berjaya mencuri perhatian melalui video nyanyian lagu Madah Berhelah dendangan Ziana Zain di laman YouTube.

Menggunakan nama pentas Dylea, empunya diri juga tidak menyangka daripada sekadar suka-suka menyanyi di majlis perkahwinan jirannya, ada yang bertindak merakam dan akhirnya membuatkan dirinya menjadi buruan banyak pihak.

“Saya sendiri tidak menyangka video yang dimuat-naik lima tahun lalu itu sudah ditonton hampir tiga juta pelayar sehingga ke hari ini. Mungkin orang melihat ada yang istimewa tentang video tersebut meskipun saya kurang memahaminya pada peringkat awal.

“Tapi setelah beberapa tahun video tersebut tular barulah saya mula memahami sedikit demi sedikit sehingga membuatkan tertarik untuk bergelar penyanyi,” kata gadis berusia 24 tahun ini.

Mengimbas kembali perjalanan karier seninya, pemilik nama penuh Noradilah Jamaludin ini bersyukur kerana dia diberikan kesempatan merakamkan lagu berjudul Untuk Aku yang dijadikan taruhan ketika ini.

Meskipun ada yang menganggap perjalanan seninya sepatutnya bermula lebih awal ketika video tersebut tular, Dylea pula ada sebab mengapa dia sedikit terlewat untuk membuat langkah pertama.

“Kira-kira lima tahun yang lalu, memang ramai yang menghubungi saya dan memberikan peluang untuk menjadi artis rakaman. Mereka datang menawarkan pelbagai jenis lagu dan beberapa tawaran istimewa yang lain.

“Tapi saya tak mahu gopoh dalam hal begini. Nak menjadi penyanyi bukan boleh main-main dan saya perlu asah bakat terutama aspek vokal memandangkan saya tiada asas,” tambahnya.

“Saya pernah dirisik oleh beberapa syarikat rakaman sebelum ini namun semuanya belum berezeki. Jadi apabila ada yang kembali memberikan peluang dan percaya kepada bakat diri ini, ini peluang terbaik yang tidak boleh dilepaskan.

“Atas dorongan dan keyakinan beberapa pihak, saya memberanikan diri untuk menerjah industri seni dengan lagu ini. Besar harapan agar lagu ini diterima baik oleh semua,” jelas anak kelahiran Negeri Sembilan ini lagi.

Meskipun sudah bergelar usahawan, Dylea mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada bidang nyanyian namun dalam masa yang sama terus maju dalam bidang perniagaan yang sedang diusahakan.

Sebagai rekod, lagu hasil tulisan Intan Saharudin serta melodi oleh Zamzoy dan Sheikh Qalam terbitan Family Tree Media Sdn. Bhd. ini boleh didengari menerusi platform YouTube, Spotify, Joox dan medium penstriman. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas