Tragedi pelajar maut cari liputan internet dapat perhatian Menteri Komunikasi
MENTERI Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah menyatakan kesedihannya dengan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9 malam itu yang mengakibatkan kematian Kemalia Fran George, 17, selepas dilanggar sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti. Kredit foto: Bernama

Tragedi pelajar maut cari liputan internet dapat perhatian Menteri Komunikasi

TRAGEDI yang menimpa seorang pelajar perempuan yang maut akibat dilanggar lari ketika sedang mencari liputan internet di Julau Isnin lalu, mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Dalam satu kenyataan yang diterima di sini, beliau menyatakan kesedihannya dengan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9 malam itu yang mengakibatkan kematian Kemalia Fran George, 17, selepas dilanggar sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti.

“Saya amat bersimpati dan ingin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga seorang remaja perempuan yang meninggal dunia pada 2 Ogos 2021 akibat dilanggar lari ketika sedang mencari liputan internet di Jalan Julau-Nanga Entabai, Sarikei, Sarawak,” katanya.

Beliau berkata di kawasan kejadian, sebuah menara baharu sedang dalam proses pembangunan oleh pihak Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) yang merupakan agensi utama untuk transformasi ekonomi digital yang mengawasi dan mengawal selia strategi dan inisiatif digital di Sarawak.

“Di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pula, sebanyak 22 menara baharu dijangka akan mula dibina di daerah Julau bermula pada akhir suku keempat 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir suku keempat 2022,” katanya.

Berhubung isu liputan internet di Julau, beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Sarawak bagi memastikan isu liputan internet di kawasan berkenaan ditangani dengan secepat mungkin.

Menurut Saifuddin, sejumlah 12 menara komunikasi telah siap dibina di bawah dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) kelolaan MCMC dan beroperasi sepenuhnya di daerah Julau manakala dua lagi menara dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada suku pertama 2022.

Selain pembinaan menara komunikasi, kerja-kerja naik taraf rangkaian kepada 4G juga sedang dijalankan di 19 stesen pemancar di sekitar daerah Julau sehingga penghujung tahun ini termasuk Projek Jalur Lebar Melalui Satelit (Wifi VSAT) di 18 lokasi di sekitar daerah tersebut.

Projek itu dijangka mula dilaksanakan bermula September 2021 dan akan siap sepenuhnya pada Disember 2021.

Dalam kejadian pada kira-kira 9 malam itu, Kemalia sedang membonceng motosikal yang ditunggangi rakan lelakinya, Feisyia Erwin Jeffery, 20, dan dikatakan sedang mencari liputan internet bagi membuat kerja sekolahnya.

Mangsa yang merupakan pelajar SMK Julau kemudian dibawa bapanya ke Klinik Kesihatan Julau namun disahkan telah meninggal dunia manakala rakannya mengalami kecederaan ringan. — BERNAMA

CATEGORIES