Berita

Toybank Prihatin ceriakan kanak-kanak, sahut seruan Keluarga Malaysia

Foto: Ariff Azman
- Diterbit 26 September 2021 2:44 PM MYT

INISIATIF Toybank Prihatin yang diwujudkan menerusi Rumah Prihatin @Grand Seasons menyahut seruan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, selain berniat mahu menceriakan kanak-kanak yang terkesan akibat COVID-19, pemberian mainan ini juga adalah seleras dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Hari ini fokusnya adalah mengumpul seberapa banyak barang permainan yang terpakai atau baharu anjuran Toybank Prihatin yang merupakan salah satu insiatif bawah Rumah Prihatin @Grand Seasons.

“Inisiatif ini juga dilihat penting kerana berfungsi untuk menceriakan lagi sesebuah keluarga terutamanya anak-anak kecil dalam usaha kita memerangi COVID-19 ini.

“Dalam masa yang sama, kita juga menyambut seruan baik daripada Perdana Menteri yang telah memperkenalkan konsep keluarga Malaysia.

“Maka kita harus angkat konsep Keluarga Malaysia dan uar-uarkan lagi konsep tersebut. Misalnya Toybank Prihatin ini salah satu Inisiatif yang boleh memberi keceriaan kepada keluarga di seluruh Malaysia,” katanya kepada pihak media di luar pekarangan pasaraya ST Rosyam Mart, Setiawangsa, hari ini.

PENGARAH Eksekutif Rumah Prihatin, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah dan Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Nicole Wong Siaw Ting menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang penyumbang iaitu Mohd Nadzrin Md Tawil dari Pertubuhan Generasi Milenial Kuala Lumpur & Selangor (GEMAS)

Terdahulu beliau menerima sumbangan permainan kanak-kanak daripada 18 pihak syarikat korporat dan individu di hub Toybank Prihatin di pasaraya tersebut.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai tampil untuk memberikan sumbangan permainan demi memastikan tahap kesihatan mental kanak-kanak terjaga.

“Kita ada di Rumah Prihatin @Grand Seasons. Kita buka sepanjang masa. Sabtu dan Ahad pun boleh hadir untuk memberikan sumbangan.

“Kita menyeru kepada rakan-rakan korporat di luar sana bersama-sama dengan kita untuk menyediakan ruang hub untuk pengumpulan barang permainan tersebut,” jelasnya lagi yang memastikan kondisi permainan berada dalam keadaan baik sebelum diserahkan kepada penerima.

Irwan juga menjelaskan sumbangan permainan ini adalah terbuka bersesuaian dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Kalau barang permainan terpakai kami akan perelokkan agar tiada kerosakan dan anak-anak kita boleh enjoy dengan permainan tersebut.

“Setakat hari ini, sudah lebih 1000 penerima mendapat manfaat daripada inisiatif ini. Kita bukan fokus kepada rumah anak yatim sahaja, tetapi juga kepada kumpulan sasar yang lain seperti kanak-kanak di PPR.

“Kami tidak terhadkan kepada mana-mana rumah. Sesuai dengan konsep Keluarga Malaysia ia terbuka kepada semua.

“Misalnya semalam kita sampaikan sumbangan di sekolah . Ini menunjukkan kita tidak tertumpu kepada satu-satu pihak atau kategori,” tambahnya lagi.

SIDANG media turut diadakan selepas program penyerahan permainan kepada Toybank Prihatin

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Nicole Wong Siaw Ting yang menyifatkan inisiatif Toybank Prihatin adalah selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Selepas ini kita akan terus menyampaikan mesej-mesej bagus sebegini ke tempat-tempat lain selain Wilayah Persekutuan.

“Saya ingin menyeru sekali lagi kepada orang awam atau unit korporat untuk terus memberi sumbangan kepada inisiatif yang bagus seperti ini.

“Program Toybank Prihatin ini adalah untuk menunjukkan semangat Keluarga Malaysia.

“Jadi mesej inilah kita nak sampaikan kepada semua orang bahawa kita semua adalah satu Keluarga Malaysia,” jelasnya yang juga menjadi antara penyumbang permainan melalui Toybank Prihatin.

PIHAK Rumah Prihatin berharap lebih ramai tampil menyumbangkan permainan menerusi inisiatif Toybank Prihatin

Kepada sesiapa yang ingin menyumbang permainan kepada Toybank Prihatin, bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi talian bebas tol 1800-88-7997 atau layari www.yayasanwp.org/rumahprihatin . – WILAYAHKU

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas