Utama

Tourism Malaysia sertai jerayawara maya AVIAREPS Asia Tenggara

- Diterbit 20 Januari 2021 7:43 AM MYT

TOURISM Malaysia menyertai pameran pelancongan maya AVIAREPS Asia Tenggara yang diadakan selama dua hari, mulai hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tourism Malaysia memaklumkan jerayawara itu adalah pertama seumpamanya yang diadakan dalam suasana 3D penuh, membolehkan penjual dan pembeli berinteraksi menggunakan avatar masing-masing yang memberikan ilusi pameran sebenar, dalam persekitaran yang selamat dan selesa dengan lokasi pilihan masing-masing tanpa batasan sempadan.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 33 penjual mempamerkan produk, destinasi dan perkhidmatan mereka kepada lebih 500 agensi terkemuka dari ASEAN.

“Perjanjian pemadanan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dalam talian membolehkan penjual dan pembeli berhubung dengan pilihan mereka dan memaksimumkan peluang rangkaian perniagaan pelancongan, memulihkan hubungan lama sambil membina hubungan baharu.

“Tourism Malaysia menerusi empat bilik pamerannya, mengetengahkan seramai 16 peserta terdiri daripada kalangan syarikat Pengurusan Destinasi, pengusaha hotel dan taman tema dan Tourism Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pejabat Pelancongan Negeri yang mewakili Sarawak dan Pulau Pinang juga akan menyertai acara berkenaan.

Dengan menyertai acara tersebut, Tourism Malaysia berharap ia dapat terus mempromosikan Malaysia sebagai destinasi percutian terkemuka kerana pameran ini berfungsi sebagai alternatif platform kepada pembeli dan penjual di seluruh dunia untuk membincangkan perniagaan pelancongan mereka di tengah-tengah penularan wabak COVID-19, yang membatasi interaksi fizikal dan melancong.

Kenyataan itu turut memetik, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Zulkifly Md Said sebagai berkata badan itu berharap dapat belajar, berhubung dan menangani masalah sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan untuk meningkatkan industri pelancongan Malaysia.

“Dalam jangka masa panjang, kita berharap dapat mencapai matlamat untuk sekali lagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi percutian pilihan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas