Selebriti

Tolak menantu gedik – Ibu Haqiem Rusli

NAZRAH mahu calon isteri terbaik buat Hakim.
- Diterbit 2 Jun 2020 2:18 AM MYT

SEBELUM ini pernah kecoh dalam kalangan peminat industri apabila ramai gadis remaja mahu menjadi teman hidup penyanyi popular Haqiem Rusli,22, yang mendakwa dirinya masih solo tanpa kekasih.

Haqiem sendiri mengaku bakal isterinya suatu hari nanti perlu mendapat restu oleh ibunya, Nazrah Nordin, 48, terlebih dahulu sebelum mendirikan rumah tangga.

“Tidak dinafikan, dulu Haqiem pernah bercinta tetapi tidak bertahan lama. Buat masa ini Haqiem memang belum ada kekasih.

“Walaupun Haqiem bebas memilih siapa yang dia mahu, namun sebagai ibu sudah tentu saya mahukan bakal isteri yang terbaik buat Haqiem.

“Kalau boleh saya tidak mahu bakal isteri Haqiem nanti seorang yang gedik (mengada-ngada). Saya lihat ramai anak-anak muda sekarang gedik dan tidak pandai jaga adab terutama dalam media sosial. Entah apa-apa gambar dan video yang dimuat-naik di laman sosial.

“Saya cukup tidak suka orang yang gedik. Biarlah kelakukan tu sederhana, sopan santun dan pandai hormat orang tua. Tidak salah hendak aktif dalam media sosial, tetapi jagalah adab,” luah Nazrah yang tidak kisah status bakal isteri Haqiem nanti.

“Seboleh-bolehnya biarlah anak dara atau yang belum pernah berkahwin. Namun, kita hanya merancang, andai kata ditakdirkan jodoh Haqiem dengan janda atau lebih berusia, saya terima. Janji Haqi bahagia.

“Apa-apa pun saya selalu menasihatkan Haqiem fokus kepada kerjaya terlebih dahulu kerana dia masih muda. Banyak lagi yang perlu dilaluinya sebagai anak seni.

“Kalau boleh biarlah dia kahwin umur 28 tahun ke atas. Biarlah dia betul-betul bersedia dari segi mental, fizikal dan ekonomi diri sebelum memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga,” ujar Nazrah mengenai anaknya yang popular dengan lagu Tergantung Sepi, Segalanya dan Jatuh Bangun.

Pasal kerjaya, Haqiem sedang merakamkan beberapa lagu baharu bersama komposer Ezra Kong. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas