Berita

TLDM terima LMS SUNDANG dari CHINA

LMS SUNDANG dengan rasmi menjadi milik kerajaan Malaysia. - Foto: Ihsan TLDM LMS SUNDANG dengan rasmi menjadi milik kerajaan Malaysia.
- Diterbit 14 Januari 2021 8:07 AM MYT

Kapal SUNDANG iaitu Littoral Mission Ship (LMS) kedua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah menjadi milik Malaysia selepas sesi penyerahan fizikal dilakukan di Wuchuan Shipbuilding Industry Co. Ltd. Wucang Port, Qidong, Shanghai, China hari ini.

Penyerahan itu melibatkan Jawatankuasa Penerimaan Akhir (JKPA) yang diketuai Ketua Projek Pasukan Projek LMS TLDM, Kepten Abdul Hadi Tan Abdullah seusai pemeriksaan dokumentasi, fizikal serta pelayaran demonstrasi keupayaan kapal.

TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan, selepas pemeriksaan, upacara menandatangani Sijil Penerimaan Akhir dan Sijil Penyerahan Fizikal dilakukan sebagai simbolik kepada kejayaan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) menyerahkan kapal kepada Malaysia.

“SUNDANG mula dibina pada 23 Oktober 2018 di Wuchuan Shuangliu Manufacture Base, Wuhan dan seterusnya dilancarkan isteri kepada mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-20, Puan Sri Rusnah A Rahman pada 12 Julai 2019.

“SUNDANG pada asalnya dijadualkan diserahkan kepada kerajaan Malaysia pada 12 April 2020, namun hanya dapat diserahkan pada hari ini susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia yang menyaksikan pembinaan SUNDANG terpaksa ditangguhkan pada 23 Januari 2020.

“Projek ini diaktifkan semula pada 18 Mei 2020 dan bakal warga Kapal SUNDANG dihantar semula ke Qidong, Shanghai pada 16 Oktober 2020 bagi menyambung semula siri latihan penyesuaian kapal yang tertangguh,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, SUNDANG berjaya melepasi beberapa siri Ujian Penerimaan di pelabuhan dan Ujian Penerimaan di laut sebelum ia diserahkan kepada Malaysia.

Katanya, SUNDANG dijadualkan belayar pulang ke Malaysia pada minggu ketiga Januari 2021 serta bakal ditauliahkan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dalam satu Upacara Pentauliahan yang penuh dengan adat istiadat dan tradisi TLDM yang bakal disempurnakan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Untuk rekod, LMS merupakan salah satu daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15to5 TLDM.

Kontrak perolehan empat buah LMS dimeterai antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan BNSSB pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC).

Projek Perolehan itu merupakan Projek Perolehan aset pertahanan kapital yang pertama dari China yang mana kapal ketiga dan keempat pula dijadual diserahkan pada September dan November ini. – WILAYAHKU

WAKIL kerajaan Malaysia yang diketuai Kapten Abdul Hadi bergambar kenangan dengan kerajaan China. (NOTA: Tiada pemakaian pelitup dan penjarakan sosial disebabkan kehidupan Qidong China adalah normal, namun pasukan yang berada di sana perlu menjalani saringan COVID-19)  
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas