Berita

Tindakan tegas produk biodegradasi mulai 1 Mac ini

PENIAGA yang memberikan straw plastik kepada pembeli akan dikenakan tindakan penguatkuasaan bermula 1 Mac ini. - Gambar hiasan
- Diterbit 21 Februari 2020 7:14 AM MYT

KUALA LUMPUR – Bermula 1 Mac ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan tegas ke atas pemegang lesen yang gagal mematuhi arahan penggunaan produk biodegradasi.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, pemegang lesen yang enggan atau gagal mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Beberapa akta boleh dirujuk antaranya Akta Kerajaan Tempatan atau Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016; UUK Pelesenan Pasar WPKL 2016; UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian WPKL 2016 dan UUK Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016.

“Sekiranya didapati melanggar syarat lesen dan syarat tambahan lesen, pemegang lesen boleh dikenakan tindakan antaranya kompaun sehingga RM1,000, lucut hak deposit, denda tidak lebih RM2,000 dan penjara tidak lebih setahun serta pembatalan lesen,” katanya.

Menurut kenyataan itu, syarat lesen yang perlu dipatuhi pemegang lesen adalah mereka dilarang menggunakan polisterina, beg plastik sekali guna dan hendaklah menggunakan produk biodegradasi.

Katanya, produk biodegradasi yang dibenarkan adalah jenis klasifikasi biodegradasi atau compostable yang mendapat pensijilan SIRIM ECO-001:2018 atau SIRIM ECO-0019:2016 daripada SIRIM Bhd.

“Penggunaan straw plastik adalah dilarang dan berkuat kuasa ke atas syarat tambahan lesen itu bermula 1 Januari lalu,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan itu memberitahu, pemegang lesen perniagaan dibenarkan untuk mengenakan caj 20 sen terhadap pembungkusan klasifikasi biodegradasi ke atas pengguna.

Kementerian Wilayah Persekutuan melaksanakan inisiatif penggunaan produk biodegradasi di semua premis perniagaan di Wilayah Persekutuan sejak 1 Januari 2017 dan seterusnya melarang penggunaan straw atau penyedut minuman plastik bermula 1 Januari lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas