Berita

Timor Leste sertai mesyuarat ASEAN untuk kali pertama sebagai pemerhati

- Diterbit 3 Februari 2023 3:03 PM MYT

MENTERI-MENTERI Luar ASEAN hari ini mengalu-alukan penyertaan Timor Leste sebagai pemerhati untuk kali pertama pada mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-32.

Secara simbolik Menteri Luar Timor Leste Adaljiza Magno diperkenal dan dipanggil memasuki dewan di bangunan Sekretariat ASEAN untuk menyertai mesyuarat.

“Timor Leste seorang daripada ahli berpotensi kami,” kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kepada media Malaysia selepas mesyuarat ACC di sini.

Beliau berkata Timor Leste kini boleh menghadiri siri mesyuarat peringkat ASEAN sebagai pemerhati sehingga keputusan rasmi dibuat secara konsensus untuk menerima negara itu menganggotai ASEAN.

Ini selaras dengan keputusan negara anggota yang dicapai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 di Kemboja November tahun lalu.

Semasa mesyuarat, Zambry berkata Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN 2023 membentangkan keutamaan dan agendanya dengan tema “ASEAN Matters: Epicentrum of Growth”.

Beliau berkata Indonesia mahu menjadikan ASEAN sebagai pusat pertumbuhan rantau dan dunia serta memberi penekanan terhadap ‘blue economy’ untuk menghasilkan penggunaan sumber laut secara mapan demi pertumbuhan ekonomi.

Isu Myanmar juga dibincangkan, katanya sambil menambah ASEAN berpegang kepada Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi membantu menyelesaikan isu di Myanmar itu.

“Semua negara anggota secara konsensus bersetuju menangani perkara itu secara bersama,” katanya.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi itu berlangsung tanpa kehadiran wakil dari Myanmar meskipun wakil ‘bukan politik’ telah dipelawa untuk mengambil bahagian. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas