Berita

Tiga rakan didakwa membunuh di Tanjung Rambutan

- Diterbit 18 Januari 2021 4:54 AM MYT

TIGA rakan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki di dalam hutan di Tanjung Rambutan di sini bulan lepas.

N. Avinesh Sarma, 22, S. Lingeshwarran, 24, dan P. Siva Raman, 33, yang semuanya penganggur mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh K. Arun, 35, menggunakan parang bersama dua lagi individu yang masih bebas di dalam hutan berhampiran Kuil Sri Maha Muthu Mariamman Ladang Tanjung Rambutan di sini antara 7.40 malam sehingga 8.45 malam pada 31 Dis lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatimah Hannah Abd Wahab manakala ketiga-tiga terduduh diwakili peguam Syahrul Nizam Mohd Rabi dan C. Kaladevi.

Mahkamah menetapkan 18 Mac untuk sebutan semua kes bagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas