Berita

Tiga lagi jalan di Putrajaya ditutup

JALAN yang ditutup ialah Persiaran Timur menghala keluar ke Desa Pinggiran Putra (Presint 16), Lebuh Wadi Ehsan menghala keluar ke Desa Pinggiran Putra (Presint 19) dan Jambatan Seri Saujana menghala keluar ke Lebuh Sentosa. Kredit foto oleh: Sinar Harian JALAN yang ditutup ialah Persiaran Timur menghala keluar ke Desa Pinggiran Putra (Presint 16), Lebuh Wadi Ehsan menghala keluar ke Desa Pinggiran Putra (Presint 19) dan Jambatan Seri Saujana menghala keluar ke Lebuh Sentosa. Kredit foto oleh: Sinar Harian
- Diterbit 3 Jun 2021 1:56 AM MYT

TIGA lagi jalan di Putrajaya akan ditutup bermula 8 malam ini berikutan pelaksanaan fasa pertama sekatan pergerakan penuh yang bermula semalam hingga 14 Jun ini.

Jalan berkenaan ialah Persiaran Timur menghala keluar ke Desa Pinggiran Putra (Presint 16), Lebuh Wadi Ehsan menghala keluar ke Desa Pinggiran Putra (Presint 19) dan Jambatan Seri Saujana menghala keluar ke Lebuh Sentosa.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata penutupan tiga jalan itu, yang merupakan  tambahan kepada tujuh jalan yang telah ditutup semalam, adalah untuk mengelakkan aliran keluar masuk ke Putrajaya dari Desa Pinggiran, Bandar Baru Bangi, Dengkil, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

“Setelah menilai sekatan jalan yang ada, kita dapati jalan-jalan utama ini masih menjadi laluan keluar masuk warga Putrajaya dan orang luar secara bebas ke pusat pentadbiran ini,” katanya kepada media selepas meninjau lokasi penutupan jalan di Jambatan Seri Saujana, di sini hari ini.

Tujuh jalan yang telah ditutup sejak semalam ialah Jalan P5 menghala keluar dan masuk ke Taman Cabaran dan Dengkil (Presint 5), Jalan Resam menghala keluar dan masuk Presint 11, Jalan P11J menghala keluar dan masuk Cyberjaya (Presint 11).

Jalan P14 menghala keluar dan masuk Sungai Merab Bangi (Presint 14), Pintu Satu menghala keluar dan masuk Presint 14, Jalan P7A, Bulatan Putrajaya Sentral dan Jalan P5 menghala ke Dengkil (Presint 5).

Mohd Fadzil berkata penutupan jalan itu akan membolehkan aliran keluar masuk ke Putrajaya dikawal selain memastikan setiap aliran trafik mengikut sekatan jalan raya (SJR) yang ditetapkan di empat lokasi.

“Polis boleh membuat pemeriksaan lebih rapi terhadap individu yang memasuki Putrajaya mempunyai surat kebenaran merentas yang sah atau urusan kecemasan,” katanya.

Empat lokasi SJR statik di Putrajaya terletak di Lebuh Sentosa menghala keluar ke Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil (Presint 5), Pintu 2A Persiaran Utara menghala keluar ke Hospital Serdang (Presint 12) dan Pintu 3 Persiaran Utara menghala keluar ke Puchong (Presint 9).

Mohd Fadzil berkata dua pasukan ‘Snap Check’ akan bertugas secara bergerak untuk memantau lokasi yang mempunyai aliran kenderaan yang banyak serta memeriksa setiap lokasi penutupan jalan bagi memastikan tiada orang awam cuba mengalihkan penghadang jalan.

Mohd Fadzil dalam pada itu berkata semalam, polis Putrajaya mengeluarkan empat kompaun masing-masing RM5,000 terhadap empat individu kerana merentas tanpa surat kebenaran yang sah, 17 kenderaan diarah berpatah balik serta pemeriksaan ke atas 2,376 individu, 2,010 kenderaan dan 386 premis perniagaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas