Selebriti

Tidak sensitif… Khadijah Ibrahim sindir golongan ‘kayangan’?

|PENAUNG Pertubuhan Kebajikan Niq Ehsan Malaysia
- Diterbit 7 Oktober 2021 3:44 AM MYT

“Dulu ibu pernah pertikaikan, apabila melihat sesebuah perkahwinan itu terlalu besar, pembaziran begitu banyak berlaku,” luah penyanyi lagenda Datuk Khadijah Ibrahim,61, apabila mengenangkan nasib ramai rakyat sedang berada dalam kesusahan.

Menurut pandangan Khadijah, situasi itu (yang menimpa orang susah) tidak sepatutnya berlaku pada masa ini sedangkan ‘perbelanjaan melampau’ terjadi dalam kalangan golongan ‘kayangan’.

“Bukan cemburu tapi ibu cakap dalam hati, besok mesti ada budak pergi sekolah tak ada kasut. Betul, keluar TV ada budak tak ada kasut nak ke sekolah. Benda-benda macam ni boleh buat ibu sedih,” jelasnya lagi yang membahasakan dirinya sebagai ibu.

Khadijah ditemui dalam majlis Sumbangan Kasih Ehsan, anjuran Pertubuhan Kebajikan Niq Ehsan Malaysia (PKNEM) di Surau Ibadurrahman di PPR Kampung Limau, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

PENAUNG Pertubuhan Kebajikan Niq Ehsan Malaysia, Datuk Khadijah Ibrahim menyerahkan peti ais untuk kegunaan surau di PPR Kampung Limau, Kuala Lumpur.

Dalam majlis amal tersebut, Khadijah yang juga penaung pertubuhan tersebut menyerahkan peti ais untuk kegunaan jemaah surau dan mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk PPR.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Penasihat PKNEM, Profesor Dr Wan Zawawi Ibrahim, Pengerusi PKNEM, Akhmarulizam Haji Ahmad dan PELAWAK popular Abon.

“Alhamdulillah, ibu lebih suka berjumpa terus dengan orang yang menerima bantuan. Misalnya apabila saya mengunjungi sebuah rumah yang tak selesa langsung, ibu mahu offer diri untuk bersihkan rumah mereka. Itu akan jadi projek akan datang saya.

“Begitu juga dengan surau dalam sesebuah kawasan, kita kena cantikkan surau. Surau mesti kelihatan tenang dan bersih kerana itu adalah tempat beribadah.

“Kadang-kadang orang perlukan peti ais, jadi kami belikan. Kami akan tolong Siapa yang memerlukan termasuk yang mengadu di media sosial, tanpa mengira bangsa dan agama.

“Berkenaan program ini sudah lama saya dan team buat, cuma tak pernah cerita pada orang lain pun. Janji penerima rasa selesa dan gembira selepas kehadiran kami. Saya pun boleh tidur dengan lena,” luah Khadijah Ibrahim yang sering melakukan kerja-kerja amal membantu masyarakat.

KATA-kata semangat diberikan kepada penduduk-penduduk PPR yang terkesan akibat COVID-19.
WAKIL PPR Kampung Limau yang menerima sumbangan Bantuan Bencana Pandemik

Dalam masa yang sama, Khadijah bersama Pertubuhan Kebajikan Niq Ehsan Malaysia akan meneruskan misi amal ini ke seluruh Malaysia.

“Bulan depan nak pergi Perak membantu beberapa buah rumah. Begitu juga rumah anak-anak yatim, ibu tunggal OKU (Orang Kurang Upaya), insya Allah kami akan kunjungi mereka untuk berikan bantuan.

“Kalau tempat itu memerlukan saya masak, saya akan masak untuk mereka.

“Selepas ini juga saya akan bantu dari segi alat-alat persekolahan termasuk pakaian ke sekolah . Kalau mereka beritahu perlukan bantuan, insya Allah kami datang. Takkan tunggu lama.

“Saya bertuah mempunyai rakan-rakan yang membantu di mana perjuangan kami adalah sama iaitu untuk meringankan beban mereka.

“Saya tak mudah putus asa. Kalau sesuatu (usaha untuk membantu) itu tak boleh, saya akan siasat kenapa tak boleh teruskan untuk beri keselesaan kepada kehidupan mereka,” jelasnya yang turut mengalu-alukan orang ramai yang mahu menyertainya dalam misi kebajikan.

DATUK Khadijah Ibrahim turut mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk PPR Kampung Limau.

Kepada sesiapa yang ingin memberikan sumbangan, boleh berbuat demikian melalui nombor akaun 21424000044942 (RHB Bank) – Pertubuhan Kebajikan Niq Ehsan Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas