Berita

Tidak pakai pelitup muka, sembilan pekerja penghantar barang di kompaun

Ketua Polis Daerah Arau Supt Nanda Maarof mengesahkan kejadian yang tular di media sosial itu berikutan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Kredit foto oleh - EIzairi Shamsudin/Berita Harian
- Diterbit 7 Jun 2021 12:22 PM MYT

SEMBILAN pekerja penghantar barang di sebuah premis perniagaan di Jejawi di sini hari ini dikenakan kompaun, selepas kesemua mereka didapati tidak memakai pelitup muka, kata Ketua Polis Daerah Arau Supt Nanda Maarof.

Beliau yang mengesahkan kejadian yang tular di media sosial itu berkata, sepasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Arau, telah melakukan pemeriksaan terhadap pekerja penghantar barang di Jejawi, Arau pada 1.30 petang tadi.

“Hasil pemeriksaan mendapati sembilan daripada 40 pekerja tidak memakai pelitup muka,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Nanda berkata, polis terpaksa mengambil tindakan tegas mengeluarkan kompaun RM1,500 bagi sembilan orang pekerja penghantar barang berumur 20 hingga 30 tahun itu, dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan pandemik COVID-19.

Kompaun itu katanya, dikeluarkan mengikut Peraturan 17(1) Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit  2021. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas