Berita

”Tidak kira mana-mana kaum, siapa saja hina tentera dianggap musuh negara” – Mohamad Sabu

MOHAMAD-PERTAHANAN
MOHAMAD hadir ke perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan dan Melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan di Dataran Wisma Pertahanan. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 16 Ogos 2019 7:31 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD
[email protected]

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad menegaskan, mana-mana pihak tanpa mengira kaum yang menghina serta memperlekehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh dianggap sebagai musuh negara.

Beliau berkata, perbuatan berkenaan suatu perkara yang jijik dan tidak dapat diterima.

”Mutakhir ini, kita lihat oleh kerana negara dalam keadaan aman dan tenteram kadang-kalanya mereka lupa peranan angkatan tentera dan Kementerian Pertahanan serta unit-unit di bawahnya.

”Reaksi netizen kalau kita lihat ia dari sudut perkauman, bagi kita siapa sahaja yang menghina angkatan tentera, mereka adalah musuh negara, tidak kira mereka daripada mana-mana kaum atau puak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2019 di Dataran Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Senator Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Zuki Ali dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Mohamad melahirkan kebimbangan apabila isu penghinaan terhadap ATM dimainkan dari sudut perkauman.

Beliau memandangkan serius perkara tersebut kerana antara punca terdapat negara yang terlibat dalam kancah peperangan ekoran masalah etnik dan ideologi yang disalah urus hingga menyebabkan beberapa buah negara Islam sekarang hancur.

Mohamad Sabu menyatakan, apabila seorang bekas Ketua Menteri Sabah mengeluarkan cadangan agar anggota tentera menjadi pengawal keselamatan manakala anggota tentera wanita menjadi amah dan tukang cuci, pihaknya melihat rakyat tidak melenting.

”Saya telah mengarahkan pihak ATM menjawab, hal ini boleh merendahkan pasukan tentera. Rakyat melenting apabila seorang jutawan kaum Tiong Hua mengatakan bahawa tentera makan tidur elok mereka menjadi peneroka Felda, rakyat melenting dan pelbagai pihak memainkan peranan menghentam dan membela pasukan tentera, saya lihat di sini ialah isu perkauman yang dimainkan, kenapa apabila seorang Melayu atau Islam mengkritik dan menghina ATM, netizen diam?” soalnya.

Justeru beliau mahu ATM terutamanya pasukan risik menguatkan peranan mereka dari sudut mendapatkan maklumat mengenai perkara tersebut.

”Non traditional war yang berlaku di negara lain, Insya-Allah tidak sekali- kali berlaku di Malaysia, pasukan tentera kita mantap sebagai satu pasukan,” katanya.

Jelas beliau apa saja yang berlaku dalam kalangan netizen, pihak tentera tetap berkhidmat di bawah kerajaan semasa dan mereka berada di bawah panji yang diserahkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi mempertahankan kedaulatan negara.

Sebelum ini, ahli perniagaan, Koon Yew Yin dalam kenyataan di blognya dipetik sebagai berkata, ramai anggota tentera hanya makan dan tidur, malah ramai antara mereka tidak pernah menembak dan mencadangkan anggota tentera dihantar bertugas ke ladang Felda. Bagaimanapun, artikel itu telah dipadamkan.

Kenyataan berkenaan mengundang kritikan pemimpin kerajaan, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan kerana menganggap ia
sebagai menghina anggota tentera.

Dalam pada itu, laporan portal Daily Express pada 1 Julai lalu menyiarkan kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Haris Salleh bertajuk ‘Review role of Armed Forces’ yang turut dianggap menghina angkatan tentera.

Sementara itu, pada sidang akhbarnya, Mohamad ketika ditanya mengenai permohonan maaf dibuat Yew Yin, beliau berkata, tidak timbul soal maaf dalam perkara tersebut.

“Tidak sebut soal maafkan. Tidak ada perkataan maaf dan sebagainya. Laporan yang dibuat kita serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan atau tidak, atas kebijaksanaan mereka,” katanya.

Mohamad berkata, rakyat perlu sedar bahawa keamanan yang dikecapi sekarang adalah kerana anggota tentera menjakankjan tugas mengawal wilayah negara sama ada di daratan, lautan dan udara pada setiap masa.
Kebanyakan mereka berada di perbatasan yang jauh daripada penglihatan orang awam, katanya.

”Apabila negara aman, rakyat dapat melakukan aktiviti harian dengan selamat tanpa perlu risau ditembak atau dibom seperti sesetengah negara lain. Pelabur luar dan pelancong juga akan datang ke Malaysia apabila mengetahui negara ini dalam keadaan aman.

“Aktiviti pembangunan negara juga dapat berlangsung tanpa halangan. Inilah sumbangan Kementerian Pertahanan dan ATM yang ramai tidak sedari,” katanya sambil menyatakan masyarakat boleh mengkritik ATM tetapi jangan sampai menghina. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas