Berita

Tidak benar dakwaan bekalan makanan terputus

ANNUAR meneliti bekalan bahan mentah untuk diedarkan kepada penduduk di sekitar Pasar Borong Selayang yang dikenakan PKPD. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 23 April 2020 11:39 AM MYT

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKNWP) membuat keputusan membenarkan kedai runcit di setiap blok kediaman dibuka di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa itu berkata, keputusan itu diambil susulan terdapat laporan mendakwa pelarian Rohingya yang tinggal di situ tidak mendapat bantuan sedangkan kerajaan memberikan bekalan makanan asas.

“Saya hendak menafikan kalau orang kata ada putus bekalan (makanan) dan tidak boleh pergi membeli (bekalan  makanan).

“Kedai-kedai runcit ini diberikan kebenaran khas boleh buka dan berniaga, mereka yang berada dalam kawasan PKPD masih boleh pergi membeli barang-barang asas dan keperluan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Pengurusan Krisis,(CMC) Pasar Borong Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Polis Daerah Sentul, Asistan Komisioner S. Shamugamoorthy.

ANGGOTA tentera menyiapkan bekalan makanan asas untuk diedar kepada penduduk di sekitar Pasar Borong Selayang yang dikenakan PKPD. 

Annuar berkata, pihak berkuasa akan memantau pergerakan keluar dan masuk bagi memastikan keadaan terkawal dan memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)

Annuar memberitahu, kawasan berkenaan mempunyai 3,200 unit kediaman  membabitkan seramai 17,000 penduduk.

“Kerajaan akan menyediakan keperluan harian dalam bentuk bekalan bahan mentah kepada hampir 1,500 kediaman di kawasan itu.

“Saya beri jaminan kesemua 1,500 unit kediaman warganegara yang didaftarkan akan mendapat bekalan berkenaan yang mula diedarkan hari ini dan esok,” katanya sambil menambah bekalan yang diberi cukup untuk tempoh 14 hari dengan dua kali agihan dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Sementara itu, kata beliau, bagi 1,700 unit kediaman dihuni warga asing, CMC  sudah mewujudkan satu akaun bagi mengumpul dana untuk membantu mereka.

“Kita ada akaun di DBKL dan bekalan akan dikendalikan  oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikut senarai yang ada.

“Namun kita tidak beri lengkap seperti warganegara. Ini bantuan kemanusiaan tetapi kita percaya dengan dana yang kita ada, kita boleh beri cukup bekalan asas,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas