Berita

Tiada kompromi salah guna lesen – Annuar

TINDAKAN rampas akan dikenakan terhadap mereka yang 'sub let' premis kepada warga asing. - Gambar hiasan
- Diterbit 20 Disember 2020 12:22 PM MYT

MANA-MANA pihak yang didapati memajak atau menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing akan berdepan dengan tindakan tegas termasuk lesen dirampas.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, dasar yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini sudah jelas dan tiada sebarang lesen boleh diluluskan untuk warga asing berniaga, sama ada di tapak sementara Pasar Borong Selayang atau pasar tani berhampiran.

Beliau berkata, polisi dan garis panduan tersebut masih kekal dan dalam hal ini tiada kompromi jika didapati pemegang lesen yang sah menyewakan (sub let) kepada warga asing.

“Kita sudah tetapkan garis panduan yang jelas dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalah gunakan kuasa memberi kelulusan perniagaan atau lesen diguna oleh warga asing.

“Jika kita mengesan perkara itu, mereka terlibat akan disenarai hitam dan lesen akan dirampas serta-merta,” katanya selepas Program Bantuan Barangan Asas dan Pelitup Muka, anjuran Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuaan (MPPWP) Zon dan Sub Zon Parlimen Cheras.

Kata Annuar, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang terlibat bagi mengelak rasa cemburu rakyat tempatan terhadap warga asing yang dibenar berniaga.

“Dalam keadaan hidup rakyat sendiri susah ketika penularan COVID-19, kita tumpukan soal kebajikan untuk membantu rakyat melalui pemberian lesen sebagai galakkan kepada mereka berniaga.

“Sekiranya inisiatif ini dilonggarkan atau ada orang dalam menyalahgunakan kuasa dalam pemberian lesen, objektif tersebut sukar dicapai.

“Jika ada aduan, boleh salur maklumat kepada saya atau KWP untuk tindakan termasuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Sebelum ini, ada laporan media menyebut segelintir warga asing sanggup membayar hingga RM3,000 bagi mendapatkan lesen diluluskan orang dalam yang didakwa mewakili persatuan peniaga telah mengaut keuntungan berlipat kali ganda berbanding kadar yang dikenakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya RM900 setahun, selama ini.

Annuar menegaskan, perbuatan memberi lesen kepada warga asing bukan sekadar menyalahi undang-undang negara tetapi turut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta melanggar peraturan dan polisi yang digubal.

“Lesen perniagaan hanya untuk rakyat tempatan semasa memohon, mereka perlu menunjukkan bukti sahih sebagai warganegara.

“Ramai rakyat yang masih susah mendapatkan lesen walaupun hanya untuk perniagaan kecil-kecilan dan sebab itu kerajaan perkenalkan Wilayah Bebas Berniaga (WBB) untuk membantu golongan ini.

“Jadi kita perlu konsisten mengenainya di dalam mendahulukan rakyat seterusnya membela nasib golongan ini,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas