Berita

Tiada keperluan hantar tentera ke Hospital Medan – Panglima ATM

JENERAL TAN SRI AFFENDI BUANG
- Diterbit 8 September 2020 5:20 AM MYT

TIADA keperluan mendesak untuk menghantar anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh selepas pengoperasiannya ditamatkan kerajaan, susulan penularan wabak COVID-19.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata langkah itu berikutan kemudahan kesihatan serba lengkap telah dibina di kawasan berkenaan.

“Dulu masa tentera Malaysia diletakkan di situ, tak banyak negara yang menghulurkan bantuan kemudahan perkhidmatan kesihatan dan sebab itulah Hospital Medan dibina serta diambil alih oleh kami.

“Hospital Medan ini bertindak sebagai barisan hadapan kesihatan pada masa itu. Biarpun ia terhad, namun mencukupi dalam menangani masalah kesihatan ketika itu,” katanya kepada Bernama di Wisma Pertahanan, di sini.

Menurut Affendi, keadaan kini berbeza kerana, banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam menyumbang dan menyediakan kemudahan kesihatan di kem pelarian itu.

“Sekarang semua kemudahan itu semakin bertambah dan sudah sampai masa khidmat tentera kita  (ATM) tidak lagi diperlukan di situ. Jika diikutkan, boleh saja kekal berada di situ, namun tiada fungsi kritikal diperlukan lagi di sana,” katanya menambah khidmat ATM diperlukan ketika itu berikutan isu pelarian yang melanda negara berkenaan.

“Pada Jun lepas, kerajaan membuat keputusan supaya pengoperasian tentera di Hospital Medan di Bangladesh ditamatkan sebagai langkah pencegahan wabak COVID-19.

“Kesemua tentera di sana telah pulang dan penilaian turut dibuat daripada segi sama ada masih relevan untuk dikerahkan anggota ke situ apabila wabak ini berakhir,” katanya.

Hospital Medan Malaysia di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh, diwujudkan pada Disember 2017 bagi menampung keperluan rawatan kesihatan kepada ratusan ribu pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri ke tenggara Bangladesh ekoran konflik di barat Myanmar.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas