Berita

Tiada cadangan wujudkan SOP khusus untuk Kuala Lumpur – Shahidan

SHAHIDAN ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat CCMC.
- Diterbit 3 September 2021 11:16 PM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) tidak bercadang untuk mengadakan prosedur operasi standard (SOP) yang khusus untuk Kuala Lumpur dan Putrajaya ekoran pembukaan sektor ekonomi dan sektor pelancongan di ibu kota.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kasim berkata, pihaknya akan terus menggunakan SOP yang sedia bagi memudahkan pemantauan terhadap situasi semasa di kedua-dua Wilayah Persekutuan.

“Kawasan pelancongan utama di negara ini adalah di Kuala Lumpur jadi kita hendak lihat supaya benda ini diberi perhatian. Fasa satu ada garis panduan dan fasa dua juga ada garis panduan, kita akan ikut yang itu.

“Kerajaan telah umumkan pembukaan aktiviti ekonomi di kawasan pelancongan di Langkawi, jadi Kuala Lumpur ini bukan sahaja kawasan aktiviti ekonomi, disamping itu, ia juga adalah kawasan pelancongan dan aktiviti ekonomi,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pusat Penyelarasan dan Pengurusan COVID-19 (CCMC) di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Azizah Mohamed Said.

Beliau yang juga Pengerusi CCMC berkata, pada ketika ini angka dari KKM telah menunjukkan penduduk di Kuala Lumpur telah mencapai tahap 200 peratus untuk dos pertama melalui program vaksinasi COVID-19.

“Saya hendak tengok apakah sebenarnya warga Wilayah Persekutuan ini telah mendapat vaksin 100 peratus atau tidak.

“Kita akan membuat pusingan kedua vaksin bergerak dengan kerjasama kementerian yang lain untuk pergi terus ke kawasan-kawasan di Kuala Lumpur dan kita hendak pasti supaya warga tempatan telah divaksin atau tidak,” katanya.

Jelasnya, perkiraan yang diguna pakai dalam memperolehi peratusan vaksinasi untuk warga kota ketika ini adalah berdasarkan kepada jumlah vaksin.

“Oleh kerana ia telah mencapai 200 peratus, sudah pasti warga Kuala Lumpur sudah sepatutnya mendapat 100 peratus.

“Cuma ada beberapa agensi yang melaporkan 58, orang, 50 orang yang belum divaksin ia tidak mendatangkan kesan yang ketara terhadap angka-angka tersebut.

“Walau bagaimanapun kita tidak mahu bertolak ansur dan kita akan teruskan untuk vaksin bergerak untuk kawasan yang telah ditetapkan dan pendekatan dia senang, kalau kita pergi tempat itu kalau ada orang yang keluar, bererti kita telah capai,” katanya. – WILAYAHKU – 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas