Berita

Terus perkasa agenda KWP

ZAIZALNIZAM (kanan) menyerahkan sumbangan kepada pelajar cemerlang ketika Majlis Penyerahan Cek Skim Bantuan Awal IPT pada tahun lalu di wisma YWP. ZAIZALNIZAM (kanan) menyerahkan sumbangan kepada pelajar cemerlang ketika Majlis Penyerahan Cek Skim Bantuan Awal IPT pada tahun lalu di wisma YWP.
- Diterbit 15 Januari 2022 1:30 AM MYT

TERUS komited memperkasakan agenda Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) khususnya dalam aspek kebajikan, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menyasarkan perbelanjaan sebanyak RM13.4 juta pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, kebanyakan program sedia ada akan diteruskan serta beberapa penambahbaikan akan dilakukan mengikut keperluan.

“YWP akan meneruskan usaha dalam membangunkan warga Wilayah Persekutuan khususnya golongan B40.

“Akan ada beberapa program baru diperkenalkan pada tahun ini dan selain program yang dirancang, kami juga akan terlibat dengan agenda anjuran kementerian,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Beliau berkata, program YWP masih berteraskan Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (PESAT) dengan sasaran perbelanjaan sebanyak RM13.4 juta.

“Tiada jumlah anggaran penerima untuk setiap program di bawah YWP, namun bajet kita sedikit besar berbanding tahun sebelumnya dan mengharapkan lebih ramai warga Wilayah Persekutuan menerima manfaat daripadanya,” ujar beliau.

Tambahnya, pihak YWP juga akan menambah baik faedah Skim Prihatin serta beberapa program pemantapan pendidikan juga bakal dilaksanakan pada tahun ini.

“Kita juga akan memberi fokus dalam meningkatkan program usahawan di mana program ini adalah untuk membantu peniaga kecil yang terjejas COVID-19 untuk membina semula kehidupan mereka dengan cara berniaga.

“Ia sekali gus membantu mereka untuk menambah pendapatan keluarga dan juga memberi manfaat terhadap ekonomi di Kuala Lumpur,” jelasnya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas