Artikel

Terus perjuangkan isu alam sekitar

Alam sekitar
Gambar hiasan
- Diterbit 13 September 2019 10:02 AM MYT

SEKARANG masyarakat tidak dapat boleh lari daripada membincangkan isu-isu penting melibatkan alam sekitar. Baru-baru ini masyarakat dunia dikejutkan dengan isu pembakaran hutan Amazon di Brazil yang dikatakan akan memberikan impak yang besar terhadap antara tunjang utama pengeluar gas oksigen.

Hutan Amazon yang rata-rata menghasilkan sekitar 20 peratus oksigen dunia menghadapi ancaman pembakaran yang besar. Rakyat di serata dunia bersatu inginkan keadilan terhadap perkara ini, lebih-lebih lagi kita dapat melihat gambar-gambar haiwan yang tercedera atau mati dikongsikan di laman sosial.

Benar, hidupan liar yang tidak mempunyai suara amat memerlukan bantuan kita dalam menangani isu ini agar pembakaran hutan dengan sengaja atas dasar mengaut keuntungan dapat dibendung dan tidak boleh diambil ringan tanpa kompromi.

Perjalanan perjuangan alam sekitar masih panjang dan usaha untuk memastikan lebih ramai lagi peka tentang kepen­tingan biodiversiti terhadap manusia perlu diteruskan.

Atas kesedaran tersebut, sekumpulan anak muda pelbagai kaum menerajui pergerakan alam sekitar dinamakan sebagai Charisma Movement dengan salah satu programnya projek pemuliharaan penyu dipimpin mahasiswa Universiti Bath, Uni­ted Kingdom, Hastha Chithira.

Objektif utama projek itu adalah memberikan pendedahan terhadap program pemeliharaan penyu di Chagar Hutang, Pulau Redang, Terengganu selain me­nyampaikan kesedaran kepada orang ramai.

Projek ini adalah kerjasama antara Charisma Movement dan Sea Turtle Research Unit (SEATRU) Institute of Oceanography and Environment (INOS) Universiti Malaysia, Terengganu.

Penulis dan bersama lapan sukarelawan lain menetap di Marine Turtle Research Station selama seminggu dari 27 Julai sehingga 3 Ogos lalu.

Di situ, kami mempelajari banyak perkara melibatan penyu agar atau penyu hijau (chelonia mydas) dari kitar hidup, cara atau gaya hidup sehinggalah melibatkan proses bertelur. Kami berpeluang untuk mendekati penyu ini di samping memastikan telur-telur yang dihasilkan oleh penyu-penyu tersebut terselamat daripada pemangsa atau ditinggalkan si ibu di tempat yang sesuai.

Kongsi

Dengan ilmu yang diperoleh, sukarelawan ditugaskan untuk melawati dua buah sekolah di Gombak, Selangor untuk berkongsi pengalaman dan membuka minda di samping memupuk minat pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu dan SMK Taman Melawati untuk menyambung pelajaran mereka dalam jurusan alam sekitar.

Sukarelawan tersebut juga menerangkan mengenai haluan yang pelajar boleh ikuti supaya mereka mengetahui bahawa terdapat banyak peluang untuk melanjutkan pelajaran dengan bantuan biasiswa.

Perjuangan alam sekitar mampu diperkukuhkan dengan inisiatif pendidikan seumpama itu meskipun tidak semua rakyat Malaysia ber­sedia membuat perubahan dalam menangani isu alam sekitar.

Namun Malaysia pasti mampu menjadi pejuang alam sekitar yang lebih proaktif pada masa akan datang. Lebih ramai lagi pelajar perlu mengikuti pengajian dalam bidang pengurusan alam sekitar dan melahirkan lebih banyak sukarelawan dalam kalangan belia untuk menjalankan akti­viti kempen pemuliharaan alam sekitar.

Isu-isu berkenaan alam sekitar harus terus diberikan tumpuan agar pemimpin-pemimpin negara dapat mengambil tindakan serius dan memberikan keadilan kepada nasib tumbuhan dan hidupan liar yang makin terancam.

Penulis Muhammad Haaifullah Bin Ibrahim,

Pelajar Sarjana Atmospheric Dyna­mics, Universiti Malaya. 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas